Panasnya Hari Ini

PH Mahu Sekat Momentum Sokongan Rakyat Kepada BN – Mohamad

REMBAU – Pakatan Harapan (PH) mahu Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau untuk menyekat momentum sokongan rakyat kepada BN.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PH tidak mahu BN mendapat kemenangan ketiga berturut-turut selepas mereka tewas dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih sebelum ini.

“PRK ini amat penting bukan kerana kerusi Rantau, tetapi kerana ‘Mohamad Haji Hasan’ yang bertanding. PH akan berkempen habis-habisan dan menggunakan semua jentera.

“Sebab itu kita lihat tarikh penamaan calon agak lewat (30 Mac 2019) bagi menyekat momentum BN,” katanya ketika berucap pada pertemuan dengan jentera MCA bagi PRK DUN Rantau di sini malam tadi, lapor Kosmo Online.

Mohamad yang akan menjadi calon BN dalam PRK DUN Rantau berkata, atas sebab itu BN perlu menang dalam pilihan raya berkenaan untuk memastikan momentum sokongan rakyat berterusan.

Mohamad berkata, kemenangan beliau di Rantau juga akan memastikan kehadiran wakil pembangkang yang kuat dalam DUN Negeri Sembilan.

Justeru, beliau meminta UMNO, MCA dan MIC supaya terus berusaha membina semula kekuatan BN selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Jelasnya, kerjasama yang terjalin sepanjang BN mentadbir negara selama ini malah terbukti berjaya membina sebuah negara yang maju dan harmoni.

“Benteng sudah pecah tapi kita kena ambil semula batu-bata dan simen semula. Kali ini kita simen dengan simen yang kuat dan cepat kering,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");