Perak Hari Ini

PKR Perak Tolak Spekulasi Buruk Pembangkang

IPOH- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak hari ini menolak spekulasi yang cuba dimainkan Ketua Pembangkang Dun Perak, Datuk Saarani Mohamad mengenai ketidakstabilan yang berlaku dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan Perak.

Naib Pengerusinya, Tan Kar Hing berkata, segala spekulasi yang dilontarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu adalah bermusim tatkala menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Taktik yang beliau gunakan sama seperti sidang Dun yang lalu dimana katanya kerajaan kini tidak stabil, malahan ada exco atau jawatankuasa yang akan ditukar seolah-olah kerajaan yang sedia ada mempunyai pelbagai masalah.

“Untuk maklumat semua rakyat di negeri Perak, pentadbiran dan pemerintahan sedia ada masih stabil malahan PKR di negeri ini juga kukuh bersama Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang akan terus mengetuai kepimpinan di negeri ini,” katanya dalam satu sidang media mengenai respon Keadilan Perak terhadap penggabungan Umno dan Pas di Perak.

Dalam pada itu Kar Hing berkata, beliau menghormati peranan Saarani sebagai ketua pembangkang dan berharap segala spekulasi dapat dihentikan agar ia tidak mematahkan keyakinan pelabur terhadap pembangunan negeri.

“Langsung tiada faedah jika beliau berterusan berbuat demikian walaupun berada di pihak pembangkang kerana dengan cara ini negeri Perak juga berhadapan dengan pelbagai masalah.

“Jangan momokkan atau mengelirukan rakyat serta pelabur yang ada kerana institusi pembangkang sendiri boleh menjalankan tugas mereka sebagai pembangkang,” katanya.

Dalam pada itu beliau yang juga Exco kerajaan negeri turut mengulas mengenai kerjasama antara Pas dan UMNO yang dilihat sebagai bukan satu masalah yang besar kepada kerajaan negeri.

“Sama ada mereka mahu berpesatuan, langsung tiada sebarang masalah kerana dalam perlembagaan juga ada mengatakan bahawa setiap orang bebas untuk bersuara dan tiada isu berbangkit mengenai perkara ini.

“Namun, banyak persoalan yang timbul kepada pihak pembangkang iaitu di mana hakikat sebenar bahawa mereka adalah pesaing yang ingin menang dalam pilihan raya.

“Dan jika mereka ikhlas ingin ‘berkahwin’, bagaimana pula cara bagi menyelesaikan isu kerusi dan bertanding bagi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pada masa yang sama, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang juga merupakan adun Hulu Kinta berkata, isu sebegini timbul setelah wijud kerjasama antara UMNO dan PAS.

“Saya harap rakyat tidak keliru dan percaya mengenai khabar angin tersebut kerana kerjasama mereka belum berlaku lagi sama seperti PRU yang lalu di mana Pas tidak membuat sebarang kerjasama yang rasmi dengan Umno.

“Jika mereka mempunyai bilangan kerusi yang cukup, sudah tentu pada pilihan raya yang lalu, kerajaan telah ditubuhkan.

“Hal ini jelas menunjukkan bahawa perkara ini tidak benar dan sengaja dibangkitkan untuk mengelirukan rakyat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");