Berita Hari Ini

PM Seru Negara Islam Untuk Berusaha Setanding Negara Maju

ISLAMABAD – Malaysia dan negara Islam yang lain perlu berusaha agar setanding dengan negara maju, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Malaysia berpendapat terdapat ruang untuk memperluaskan kerjasama dengan atau antara negara Islam lain.

“Hari ini tidak ada satupun negara Islam yang dianggap sebagai negara maju. Sebenarnya Malaysia mempunyai perancangan menjadi negara maju menjelang 2020, tetapi malangnya perubahan dalam kerajaan (pemimpin) menjadikannya tidak mungkin dapat dicapai.

“Bagaimanapun kami masih berhasrat menjadi negara maju menjelang 2025. Kami berharap ini bukan hanya kepada Malaysia sahaja,” kata beliau pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di sini pada Jumaat, lapor Bernama.

Dr Mahathir memulakan lawatan kerja tiga hari ke Pakistan pada Khamis.

Dr Mahathir berkata negara Islam seperti Malaysia dan Pakistan perlu mencari cara menangani Islamofobia.

“Pakistan dan Malaysia memahami isu ini. Kami dapati kini terdapat kebimbangan dan anti terhadap orang Islam dan itulah sebabnya kenapa 50 orang Islam terbunuh (dalam insiden tembakan di masjid di Christchurch, New Zealand minggu lepas),” katanya.

Beliau berkata insiden berkenaan yang turut melibatkan warga Pakistan dan Malaysia di kawasan itu sebagai mangsa, berlaku kerana perasaan kebencian yang dihasilkan oleh media dan orang tertentu.

“Kita perlu belajar bagaimana mengatasi masalah ini. Ia tidak semestinya dengan melawan kita boleh menang. Pengalaman Malaysia ialah mengenai memenangi hati dan minda rakyat,” katanya.

Beliau berkata Malaysia dan Pakistan boleh bekerjasama dalam hal itu supaya ada peningkatan yang lebih baik terhadap persepsi orang Islam di dunia.

“ Kita (Malaysia dan Pakistan) sentiasa berbincang mengenai keganasan. Ada cara yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan kebimbangan, kemarahan dan kebencian terhadap orang Islam,” katanya.

Terdahulu, Pakistan memberi sambutan rasmi kepada Dr Mahathir di Prime Minister’s House, dan beliau disambut Imran Khan semasa tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan itu.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya mengadakan mesyuarat empat mata, yang diiikuti dengan mesyuarat delegasi Malaysia dan Pakistan.

Pada sebelah petangnya, Dr Mahathir akan dikurniakan anugerah “Nishan-e-Pakistan” atau Order of Pakistan, anugerah awam tertinggi negara itu yang akan disampaikan oleh Presiden Pakistan Dr Arif Alvi.

Lawatan Dr Mahathir ialah atas jemputan rakan sejawatannya dari Pakistan untuk menghadiri sambutan Hari Pakistan yang disambut pada 23 Mac setiap tahun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");