Jenayah

Polis Sahkan Terima Laporan Berhubung Video Ugut Simbah Asid Mujahid

KUALA LUMPUR: Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini membuat laporan polis berhubung satu video berunsur ugutan mahu menyimbah asid terhadap Menterinya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Menurut BH Online, laporan polis itu dibuat oleh Mohd Fikri Abdul Rahman, wakil daripada pejabat menteri bersama seorang lagi pegawai di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.

“Saya sahkan ada terima laporan dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu ugutan jenayah,” katanya.

Video berdurasi dua minit 39 saat itu dimuat naik di media sosial oleh pengguna akaun Facebook, Otai Daulat 812, Rabu lalu.

Mohd Fikri berkata, video itu memaparkan satu sesi perbincangan antara empat individu yang antara lainnya menjadikan Mujahid sebagai topik perbincangan yang diakhiri dengan seruan supaya menteri itu disimbah asid.

“Seruan ini adalah sangat merbahaya kerana ia menganjurkan suatu perbuatan jenayah serius yang boleh mendatangkan kecederaan malah boleh membawa maut, malah video itu sendiri mengandungi berita tidak benar dan fitnah selain ancaman serius kepada menteri,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Fikri mendesak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bertindak tegas mengekang fitnah dan perbuatan hasutan yang berleluasa di media sosial.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");