Perak Hari Ini

PPPNP Perkenal Skim Ladang Harapan

IPOH: Bagi tahun lalu, seramai 2,230 orang daripada seluruh negeri telah menerima agihan keuntungan daripada projek Ladang Rakyat oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang keseluruhannya berjumlah RM952,600.

Oleh sebab itu, pada tahun ini agensi tersebut berhasrat untuk memperluaskan projek Skim Ladang Rakyat ke semua daerah di Batang Padang, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Mualim, Hilir Perak, Manjung, Kerian dan Bagan Datuk yang bakal memanfaatkan sekitar 4000 penerima dengan jumlah keuntungan RM1.2 juta.

PPPNP dalam satu kenyataan turut mengumumkan pewujudan sebuah konsep ladang baharu yang dikenali sebagai Skim Ladang Harapan.

Katanya, skim tersebut mempunyai konsep yang berbeza daripada skim perladangan yang sedia ada.

“Skim Ladang Harapan ini tidak akan dianggotai oleh individu, namun keahliannya adalah terdiri daripada Koperasi atau Persatuan yang berdaftar di Negeri Perak.

“Dengan adanya konsep ini, lebih ramai pihak akan mendapat manfaat daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Selain itu, bagi tujuan membantu membangunkan masyarakat Orang Asli, PPPNP juga mengumumkan telah mengambil Kampung Sungai Perah dekat Parit sebagai kampung angkat.

Katanya, antara inisiatif bantuan yang telah dijalankan di kampung tersebut ialah membaik pulih padang bola sepak, pelaksanaan aktiviti gotong-royong serta penyerahan bantuan alatan persekolahan.

Pada masa sama, PPPNP turut terlibat dalam pembangunan hartanah menerusi program Rumah Perakku di Malim Nawar.

“Di bawah program ini, PPPNP menetapkan harga rumah kos rendah di bawah RM90,000 manakala rumah kos sederhana tidak melebihi RM150,000 dan rumah mampu milik di bawah RM250,000,” katanya.

Dalam kenyataan sama, agensi tersebut mengumumkan prestasi kewangan bagi tahun 2018 yang mencatatkan perkembangan baik iaitu keuntungan bersih sebanyak RM23.26 juta berbanding pada tahun 2017 iaitu sebanyak RM16.12 juta.

Katanya bagi hasil pengeluaran buah tandan segar sehingga Februari 2019, sebanyak 26,014 tan metrik telah dicatatkan yang mana ia menunjukkan lebihan sebanyak 21 peratus.

“Terdapat peningkatan hasil sebanyak 61 peratus jika dibandingkan dengan Februari 2018. Peningkatan hasil sebanyak 47 peratus direkodkan bagi perbandingan tempoh yang sama bagi tahun 2017,” katanya.

Pada hari ini, agensi tersebut mengumumkan jalinan perjanjian kerjasama dengan beberapa syarikat korporat yang merangkumi sektor agrikultur, aquakultur dan penternakan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");