Berita Hari Ini

Presiden Korea Selatan Puji Dr M Pacu Pembangunan M’sia

Korea Selatan dan Malaysia bersetuju untuk melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur dan Dasar Selatan Baru dengan cara yang harmoni, kata Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan asas bagi kerjasama dua hala menerusi Dasar Pandang Ke Timur, yang dilperkenalkan di bawah kepimpinan Dr Mahathir pada tahun 1980-an.

“Kerajaan saya juga aktif melaksanakan Dasar Selatan Baru (yang dilancarkan pada 2017) untuk meningkatkan lagi dan memupuk hubungan kita dengan negara-negara Asean termasuk Malaysia,” katanya dalam sidang media bersama dengan Dr Mahathir di Perdana Putra di Putrajaya hari ini selepas kedua-dua pemimpin mengadakan rundingan.

Dasar Selatan Baru bertujuan untuk meningkatkan hubungan antara Korea dan Asean termasuk Malaysia dalam tiga tunggak iaitu rakyat, kemakmuran dan keamanan.

Sebagai negara anggota Asean, Presiden Moon berkata Malaysia telah mencapai kemajuan ekonomi yang luar biasa dan juga memainkan peranan utama dalam memupuk keamanan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.

“Saya percaya semua ini dapat dicapai, terima kasih kepada wawasan seorang pemimpin yang cemerlang (Dr Mahathir) dan kehadiran mereka yang bekerja keras.

“Saya sekali lagi menyampaikan ucapan penghargaan saya kepada perdana menteri Mahathir kerana memacu Malaysia ke arah pembangunan negara dan pada masa yang sama memelihara nilai-nilai Asia untuk tempoh yang panjang,” katanya.

Moon berkata beliau gembira kerana menjadi presiden Korea yang pertama yang melawat Malaysia selepas sembilan tahun.

Kali terakhir presiden Korea Selatan melakukan lawatan ke Malaysia ialah presiden Lee Myung-bak, pada 9 dan 10 Disember 2010 untuk memperingati ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Selatan.

Kerjasama sistem pengangkutan, perisikan

Semasa rundingan dua hala, presiden Moon, melalui penterjemah rasmi kerajaan Korea Selatan, berkata kedua-dua negara juga bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama strategik antara rakyat yang mengutamakan keamanan dan kemakmuran.

Beliau berkata Korea Selatan dan Malaysia bersetuju untuk meningkatkan lagi hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara.

Presiden Moon berkata kedua-dua negara juga bersetuju untuk memupuk persahabatan di kalangan rakyat dengan menganjurkan acara kebudayaan untuk meraikan ulang tahun ke-60 pemupukan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Korea pada 2020.

“Kami juga membincangkan dan bersetuju untuk mewujudkan rangka kerja institusi untuk memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala dengan berusaha ke arah mencapai perjanjian dua hala.

“Kami mahukan proses yang pantas dengan prosedur yang relevan bermula dengan kajian kebolehlaksanaan bersama. Saya harap kita dapat mencapai kesimpulan rundingan sempena Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Korea,” katanya.

Presiden Moon dan Dr Mahathir juga bersetuju untuk menerokai secara aktif kerjasama dalam industri seperti maklumat dan teknologi (IT), pembuatan pintar, kereta masa depan, bidang kesihatan dan perubatan untuk mendapatkan respon bersama terhadap era revolusi perindustrian keempat.

“Kami berkongsi penghargaan kami untuk projek perintis bandar pintar yang akan dilancarkan di Kota Kinabalu, Sabah.

“Kami juga bersetuju untuk memperluaskan kerjasama mengenai sistem pengangkutan, perisikan, jalan raya dan pasaran halal global. Untuk tujuan (pasaran halal) kami bersetuju untuk memperluaskan pensijilan secara silang antara agensi masing-masing,” katanya.

Tuan rumah Apec 2020

Presiden Moon dan Dr Mahathir juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam industri pertahanan, keselamatan awam dan keselamatan siber.

“Ketika Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) tahun depan, Korea Selatan akan menyediakan sokongan aktif untuk memastikan kejayaannya. Akhir tahun ini, Korea Selatan akan menganjurkan Sidang Kemuncak Peringatan Korea-Asean sempena ulang tahun ke-40 sebagai rakan dialog.

“Kami mencadangkan wawasan baharu untuk 100 tahun akan datang dan merumuskan pelan strategik bagi keamanan, kerjasama dan kemakmuran di rantau berkenaan melalui sidang kemuncak ini,” kata beliau.

Di samping itu, Presiden Moon berharap bahawa mesyuarat dua hala hari ini menandakan peristiwa penting dalam usaha Korea Selatan dan Malaysia untuk membangunkan hubungan mesra dan kerjasama yang yang lebih berjaya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas layanan mesra daripada kerajaan Malaysia dan berharap dapat membalasnya apabila Dr Mahathir melakukan lawatan ke Korea Selatan akhir tahun ini,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");