Naib Ketuanya, S.Thiban berkata, terdapat banyak fitnah dilemparkan keatas calon PH tersebut di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak kebelakangan ini.

“Fitnah itu termasuk Streram pernah menyatakan pengundi sebagai lembu. Kita perlu jelaskan kepada pengundi DUN Rantau melalui Facebook dan Whatsapp tentang perkara ini.

“Kami akan turut mewujudkan nombor Whatsapp untuk orang ramai membuat aduan fitnah keatas Streram. Kami juga dalam proses mengumpulkan fitnah di media sosial dan akan membuat laporan polis minggu ini,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penyelaras PH DUN Rantau di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya AMK Negeri Sembilan, S.Sugumaran dan Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau, Norazizi A.Aziz.

Sementara itu, S.Thiban berkata, AMK yakin
Streram mampu menang besar dalam PRK DUN Rantau pada 13 April ini berdasarkan kajian lapangan yang dilakukan pihaknya.

Kata beliau, mana-mana pihak termasuk pimpinan PH yang kurang yakin tentang perkara itu dijemput turun ke Rantau bagi menilai sendiri penerimaan masyarakat terhadap Streram.

Jelas beliau, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), PKR menang tujuh daripada 14 Pusat Daerah Mengundi dalam DUN Rantau bagi kerusi Parlimen Rembau dan momentum itu dijangka kekal untuk Streram.

Rantau salah satu daripada empat DUN bawah Parlimen Rembau selain DUN Kota, DUN Chembong dan DUN Paroi.

Selain itu, kata beliau, komposisi kaum di DUN Rantau berbeza berbanding Cameron Highlands, Pahang dan Semenyih, Selangor iaitu kira-kira 53 Melayu dan 47 peratus bukan Melayu. – K! ONLINE