Jenayah

PRK Semenyih: Polis Terima Tujuh Laporan

KUALA LUMPUR: Polis menerima tujuh laporan pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata laporan yang diterima berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

“Pada 2 Mac, antara jam 8 pagi sehingga 10.30 malam, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima sebanyak tujuh laporan.

“Pecahan laporan membabitkan Seksyen 3 AKPR iaitu menghalang seseorang pengundi yang selainnya berhak untuk mengundi daripada mengundi dalam sesuatu pilihan raya dan Seksyen 26/26A, iaitu batasan pada hari mengundi.

“Selain itu, laporan diterima turut membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 4A AKPR iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu menakutkan secara jenayah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi, lapor BH Online.

Ahmad Dzaffir berkata, tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tempoh proses pengundian PRK DUN Semenyih.

Katanya, keadaan keselamatan di kawasan DUN Semenyih terkawal.

Terdahulu, BH melaporkan Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi menang selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Zakaria menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammad Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau ‘Uncle Kentang’ memperoleh 725 undi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");