Perak Hari Ini

Projek WCE Tawar Lebih 100 Peluang Pekerjaan Untuk Anak Perak

IPOH: Projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Taiping ke Banting di Selangor yang dijangka akan dibuka pada penghujung Mei ini menyediakan lebih daripada 100 kekosongan jawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) telah diamanahkan pihak WCE untuk menjadi rakan kongsi bagi mencari tenaga kerja untuk mengisi kesemua kekosongan tersebut.

Katanya apabila projek lebuh raya sepanjang 233 Kilometer itu siap sepenuhnya ia bakal menyediakan lebih daripada 200 peluang pekerjaan.

“Sebahagian jajaran WCE iaitu Beruas, Changkat Cermin, Sitiawan, Lekir, Teluk Intan dan Hutan Melintang sedang giat disiapkan. Ia akan dibuka secara berperingkat mulai Mei ini.

“Sesi temu duga terbuka akan diadakan di Teluk Intan, Beruas dan Manjung. Keutamaan kita berikan kepada penduduk setempat untuk mengisi kekosongan jawatan di WCE,” katanya.

Jelasnya, temu duga di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan akan berlangsung pada 22 Mac, temu duga di Dewan Inderawati Beruas pada 23 Mac dan temu duga di Dewan Tertutup Majlis Perbandaran Majung pula dijadualkan pada 24 Mac.

“Selain gaji pokok, WCE menawarkan beberapa tawaran menarik termasuk elaun kerja syif, elaun kerja lebih masa, kelebihan perubatan, insurans dan sebagainya.

“Para pekerja juga akan diberi peluang menghadiri kursus-kursus dalam bidang masing-masing,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri kini sedang merangka bagi mewujudkan beberapa pertumbuhan ekonomi baharu di sepanjang lebuh raya WCE itu.

Katanya kerajaan negeri akan cuba mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada penduduk tempatan di situ.

“Antara lokasi Rehat dan Rawat yang akan diwujudkan ialah di kawasan Teluk Intan Utara dan Selatan, Sitiawan Utara dan Selatan, serta Trong Utara dan Selatan,” jelasnya.

Difahamkan dengan adanya lebuh raya WCE ini ia akan memendekkan perjalanan Kuala Lumpur-Manjung kepada 1 jam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");