Perak Hari Ini

Pusat Inovasi Roket dan Aeroangkasa Negara Bakal Dibangunkan Di Manjung

IPOH: Sebuah Pusat Inovasi Roket dan Aeroangkasa Negara bakal dibangunkan di atas tanah berkeluasan 30.9 hektar di Tanjung Batu yang terletak dalam Daerah Manjung.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam satu kenyataan berkata projek tersebut merupakan hasil perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikat PKNP, Perak 4.0 Industry Sdn Bhd dengan Syarikat Lestari Advanced Technology Sdn Bhd (LATSB) yang dimeterai hari ini.

Katanya, melalui projek yang akan dibangunkan di atas tanah milik PKNP itu, ia akan memberi sumbangan kepada pembangunan teknologi roket dan ‘propulsion’ tempatan pertama dalam industri pertahanan negara.

“Projek kerjasama ini juga bakal meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di rantau ini untuk menawarkan perkhidmatan pelancaran dan pengurusan perkiraan detik untuk satelit NANO dan PICO.

“Dari sudut ketenteraan, pelan pembangunan ini dirangka bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi luar seperti sumber alat ganti dan sokongan logistik, pengubahsuaian, pembaik pulih serta membantu negara mengurangkan pengaliran wang keluar negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, projek ini juga bakal membuka peluang kepada kira-kira 1,000 orang tenaga kerja berkemahiran tinggi pada tahun 2020 dan 8,000 pekerja menjelang tahun 2040.

Majlis menandatangani MoU projek tersebut berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Langkawi, Kedah hari ini.

Ia disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP merangkap Pengarah Perak 4.0 Industry Sdn. Bhd., Mohd. Ariff Yeop Ishak bersama-sama Pengarah Urusan LATSB, Ahmad Joahari Abu Bakar.

Majlis itu turut disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam kenyataan sama jelasnya, Projek Pusat Inovasi Roket dan Aeroangkasa Negara menelan kos antara RM30 ke RM40 juta bagi pembinaan pada fasa pertama.

“Tempoh pembangunan fasa pertama secara keseluruhannya dijangka memakan masa bermula dari tahun 2019 hingga tahun 2024.

“Ia melibatkan pembinaan Pejabat Pentadbiran, Bangunan Kimia, Bangunan Reka Bentuk, Bangunan Propelan, Bangunan Struktur dan Pengeluaran serta Bangunan Avionik dan Elektronik,” katanya.

Tambahnya lagi, pembinaan fasa kedua dijangka bermula pada tahun 2024 yang melibatkan pembinaan beberapa bangunan tambahan yang belum ditetapkan kos sepenuhnya buat masa ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah bersetuju untuk menjadi penasihat bagi pembangunan projek tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");