Berita Hari Ini

Rahimi Selamat Jalani Pembedahan – Isteri

KUALA LUMPUR: “Suami sudah selamat menjalani pembedahan kedua sebentar tadi. Dia masuk ke bilik pembedahan di Hospital Christchurch jam 8 pagi tadi (waktu tempatan) dan selesai dibedah jam 2 petang.

“Stabil tetapi masih belum sedarkan diri. Saya baru dapat bertemunya di hospital jam 9 malam semalam selepas pembedahan pertama selesai. Saya berdoa semoga semuanya berjalan lancar dan turut berharap rakyat Malaysia mendoakan kami,” kata Norazila Wahid, 39.

Dia berkata demikian ketika dihubungi Harian Metro hari ini mengulas perkembangan terkini keadaan suaminya Rahimi Ahmad, 39, yang juga seorang daripada puluhan mangsa ditembak dalam tragedi sebelum solat Jumaat di Masjid Al Noor di bandar Christchurch, New Zealand, semalam.

Norazila berkata, doktor menjelaskan suaminya perlu menjalani beberapa pembedahan lagi untuk mengeluarkan serpihan peluru yang menembusi tulang belakang epidural.

“Pembedahan major yang dilakukan terhadap suami menyebabkan dia perlu dibius sepenuhnya untuk ditidurkan. Saya diberitahu sebutir peluru sudah berjaya dikeluarkan dalam pembedahan semalam.

“Keluarga kami juga akan ke sini (Hospital Christchurch) dan dijadual menaiki penerbangan dari Pulau Pinang jam 3.30 petang waktu Malaysia. Doakan kami,” katanya.

Kementerian Luar semalam mengesahkan bahawa dua rakyat Malaysia cedera dalam serangan tembakan pengganas itu.

Bagaimanapun, dilaporkan bahawa ada rakyat Malaysia ketiga yang cedera dalam insiden yang dilabel oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern sebagai keganasan.

Jacinda yang turut menziarahi Rahimi di hospital turut menyatakan permohonan maafnya kepada Norazila berikutan kejadian.

Lelaki warga Australia, Brent Tarrant, 28, sudah didakwa di mahkamah tempatan hari ini berhubung kejadian itu dan masih ditahan sehingga perbicaraan semula dijadualkan 5 April ini.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari semalam, 49 maut manakala 48 lagi cedera sehingga malam tadi dalam serangan membabitkan Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");