Jenayah

Rosmah Mohon Ketepi Notis Isytihar Perolehan Harta

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memohon untuk mengetepikan notis dikemukakan pihak pendakwaan yang mewajibkan beliau mengisytiharkan perolehan harta.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah, berkata anak guamnya menerima notis itu pada November lalu mengikut Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Geethan berkata, pihaknya menegaskan bahawa Rosmah tidak boleh diminta mengisytiharkan perolehan harta dan dibicarakan membabitkan isu yang sama.

“Ini kerana beliau ada hak untuk mendiamkan diri. Dengan penerimaaan notis ini, bermakna hak itu sudah diambil dari anak guam saya.

“Oleh itu kami memfailkan permohonan pada 25 Februari lalu bahawa beliau (Rosmah) tidak perlu membalas notis ini kerana sudah menghadapi pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Geethan berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding sebutan kes pengubahan wang haram dihadapi Rosmah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Terdahulu dalam prosiding itu, mahkamah menetapkan pada 25 April ini untuk mendengar permohonan Rosmah supaya beliau tidak perlu menjawab notis pendakwaan berkenaan.

Turut mewakili Rosmah ialah peguam Datuk K Kumaraendran, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima tuduhan gagal membuat penyata pendapatan.

Rosmah, 67, didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang, di sini dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");