Panasnya Hari Ini

Saarani Mungkin Banyak Masa Terluang – Ahmad Faizal

IPOH: Pakatan Harapan (PH) Perak menyelar tindakan pembangkang di negeri ini yang dilihat seolah-olah tetap memainkan isu kononnya pentadbiran kerajaan masa kini bakal tumbang.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata mereka seharusnya berusaha ke arah menjadi blok parti pembangkang yang terbaik dan bukannya cuba meneruskan dalam mewujudkan spekulasi sedemikian.

Katanya lagi, perkara tersebut daripada awal lagi sengaja digembar-gemburkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad selain dengan nada sinis mengatakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu mempunyai masa terluang yang banyak.

“Saya fikir Saarani, UMNO dan Pas perlu menjadi pembangkang yang baik. Sama-sama kita bekerja untuk rakyat dan bukan cuba nak menjatuhkan kerajaan.

“Dahulu beliau juga ada mengatakan perkara seperti cubaan nak menjatuhkan kerajaan ini adalah perkara yang tidak baik.

“Namun hari ini, dia pula buat perkara yang dia sebutkan itu dulu,” katanya.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak sekali lagi menegaskan bahawa kepimpinan kerajaan negeri sedia ada ini adalah kerajaan yang sah dan akan berusaha menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Tambahnya lagi, bukanlah menjadi tugas utama mana-mana parti untuk memastikan ada mana-mana wakil rakyat parti lawan melompat ke parti sendiri, bagi memastikan kedudukan parti itu kukuh.

Jelasnya tugas utama kesemua parti pada masa kini adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Daripada dahulu lagi yang sengaja cerita kononnya ada Adun atau Exco kita yang tidak setia ini semua datang daripada Saarani.

“Dia yang nak sangat masuk ke kediaman Menteri Besar, pejabat Menteri Besar. Jika mahu datang, marilah ke rumah saya. Jika mahu masuk sangatlah,” katanya dengan nada sinis.

 

Terdahulu beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga SMK Anderson kali ke-101 di SMK Anderson, di sini, hari ini.

Semalam, Saarani yang juga ADUN Kota Tampan mendakwa masih terdapat gerakan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar seperti sebelum ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");