Perak Hari Ini

Sasar Tanam Lebih 2,000 Pokok Seluruh Bandaraya Ipoh

IPOH: Dalam usaha menghijaukan lagi Bandaraya Ipoh, Kerajaan Perak bersama-sama pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyasarkan penanaman lebih daripada 2,000 pokok menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata pada fasa pertama sebanyak 90 pokok akan ditanam yang melibatkan kawasan di sekitar Jalan Bijih Timah.

Menurutnya pada fasa kedua pula sebanyak 2,500 pokok akan ditanam yang meliputi kawasan sekitar Pekan Lama Ipoh, Pekan Baru Ipoh serta Taman Rekreasi DR Seenivasagam.

Jelasnya kesemua kawasan pada fasa pertama dan kedua itu dianggarkan terletak dalam radius 2 kilometer (km).

“Kita telah pilih spesies pokok yang matang dan teguh selain tidak akan menghalang bangunan-bangunan di Ipoh.

“Dengan adanya usaha penanaman pokok ini ia akan memudahkan pelancong dan orang ramai untuk berjalan kaki di sekitar Bandaraya Ipoh. Ia akan menjadi teduhan kepada mereka tatkala berjalan kaki pada waktu siang,” katanya.

Difahamkan kesemua pokok yang disumbangkan pihak swasta itu terdiri daripada spesies pokok Merawan Siput Jantan dan Pokok Penarahan.

Dalam pada itu katanya, MBI sedang berusaha bagi menaiktaraf semua fasiliti di sepanjang pesisiran Sungai Kinta dan ia termasuk kawasan rekreasi di Kinta Riverwalk.

Ujarnya antara kerja yang sedang giat dijalankan bersama-sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ialah menaiktaraf empangan di Sungai Kinta bagi menambahkan lagi paras air sungai tersebut.

“Kita mahu bersihkan semula Sungai Kinta supaya warga Ipoh dapat beriadah di sepanjang sungai.

“Empangan tersebut berada dalam jarak 1 km. Terletak di antara Jambatan Jalan Sultan Idris Shah dengan Jalan Raja Musa Aziz. Apabila ia siap, kita akan adakan program berkayak di sungai tersebut,” katanya.

Pada masa sama jelas Kar Hing, MBI juga sedang dalam usaha menaiktaraf jambatan, laluan pejalan kaki, laluan berbasikal serta pencahayaan di sepanjang pesisiran Sungai Kinta yang mana ia dijangka siap April ini.

Terdahulu beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Penanaman Pokok anjuran MBI di Jalan Bijih Timah, dekat sini, hari ini.

Ia turut dihadiri Pengarah Kanan (Pentadbiran & Kewangan) MBI , Saidatul Akma Jamaludin serta Pengarah Landskap Bandaraya, Meor Abdullah Zaidi Meor Razali

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");