Membawang Hari Ini

‘Sekarang Rokok Pun Saya Tak Pandang’

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah filem, AR Badul, mengakui serangan jantung yang dialaminya seakan-akan peringatan supaya tidak terlalu kuat bekerja hingga mampu menjejaskan kesihatan.

Kata Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 70, kepada BH Online, cinta mendalam terhadap bidang produksi sejak zaman muda ada kala membuatkannya leka bekerja hingga berbelas jam sehari.

“Walaupun agak jarang berlakon, saya masih aktif di belakang tabir, terutama mengarahkan animasi bersiri Mac & Ted yang kini memasuki musim ketiga.

“Bidang ini sudah sebati dengan diri, sampaikan saya tidak kisah menghabiskan masa di studio berjam-jam lamanya. Saya teruja untuk menyiapkan produk dan menunggu hasilnya.

“Apa pun, pada usia sekarang dan ditambah pula serangan penyakit jantung, ia menjadi peringatan untuk memperlahankan rentak serta menumpukan lebih perhatian kepada keluarga selain mempertingkatkan amalan,” katanya.

Badul yang ditemui di Institut Jantung Negara (IJN), baru-baru ini, menjalani prosedur kedua pemasangan stent, kali ini pada bahagian jantung kirinya.

Katanya, kedua-dua prosedur berjalan lancar, sekali gus membolehkannya kembali sihat dengan menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup lebih baik.

“Sebenarnya, sakit juga adalah amaran supaya kita berubah. Kalau sebelum ini, jika ditegur agar mengurangkan aktiviti merokok, memang saya abaikan sahaja.

“Sekarang, rokok pun saya tak pandang. Begitu juga dalam soal pemakanan, isteri sentiasa memantau dari semua sudut, termasuk jenis hidangan. Selain itu, saya juga kena buat senaman ringan.

“Paling penting adalah kesedaran sendiri. Alhamdulillah, saya seperti diberi peluang kedua untuk terus hidup di muka bumi Allah ini,” kata bapa kepada tujuh cahaya mata itu lagi.

Pada pertengahan bulan lalu, bintang veteran itu dimasukkan Unit Rawatan Koronori (CCU) IJN akibat serangan jantung, namun keadaannya semakin baik selepas pembedahan pemasangan stent.

Dua minggu kemudian, industri seni gempar apabila ada pihak menyebarkan berita palsu mengenai kematian Pengarah dan Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-8 itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");