Berita Hari Ini

Semua Kaum Harus Diberi Peluang Pekerjaan – Waytha

Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum harus diberi peluang pekerjaan sama rata tanpa wujudnya sebarang diskriminasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

Beliau berkata demikian mengulas tinjauan sebuah pusat penyelidikan swasta baru-baru ini yang mendapati kaum Melayu dan India lebih cenderung menjadi mangsa diskriminasi ketika memohon pekerjaan dalam sektor swasta.

“Dalam Malaysia kita tidak harus ada sebarang bentuk diskriminasi. Semua harus diberi peluang perkerjaan. Kita tidak tahu mereka layak atau tidak jika tidak diberi peluang.

“Saya harap majikan akan memberi lebih tumpuan kepada penyatupaduan rakyat melalui perkerjaan untuk semua kaum kerana ini akan membolehkan negara mengoptimumkan tenaga kerja kita,” katanya kepada pemberita di sambutan hari kebesaran Persatuan Penganut Dewa Kwang Fook di Tanjung Minyak, Melaka malam tadi.

Menurut Waytha, Jabatan Perpaduan sedang mengkaji isu berkenaan dan merangka pelan tindakan untuk mengatasi masalah tersebut.

Baru-baru ini Centre For Governance and Political Studies mendedahkan tinjauan yang mendapati orang Melayu dan India lebih cenderung menjadi mangsa diskriminasi ketika memohon pekerjaan dalam sektor swasta khususnya wanita.

Tinjauan itu mendapati mereka berdepan banyak halangan untuk dipanggil temu duga berbanding pemohon Cina yang boleh berbahasa Mandarin.

“Jadi adakah wujud diskriminasi etnik? Jawapannya adalah ya tetapi bukan hanya untuk orang Melayu, orang India menerima lebih buruk,” kata penyelidik kanan Cent-GPS Zaidel Baharuddin.

Sementara itu, Waytha mengingatkan ahli-ahli politik agar tidak menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk meraih sokongan rakyat.

Tanpa merujuk secara khusus, Waytha berkata parti-parti pembangkang menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan rakyat.

“Kalau kita lihat dahulu semasa Umno memerintah di bawah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, mereka melaungkan slogan 1Malaysia, mempromosikan perpaduan dengan mengatakan kita hidup sebagai satu keluarga yang besar.

“Akan tetapi apabila mereka menjadi pembangkang konsep ini telah dibuang. Ini tidak sihat kepada negara yang telah merdeka selama 62-tahun. Kita tidak patut menggunakan isu-isu agama, perkauman dan sebagainya.

“Demi kebaikan negara, saya menasihatkan semua ahli-ahli politik supaya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan. Jangan musnahkan apa yang telah dibina selama ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");