Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang bentuk perhimpunan perlu mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu penganjur perlu memberikan notis kepada polis dalam masa 10 hari sebelum himpunan diadakan.

“Tidak kira sesiapa pun, sekiranya mahu menganjurkan perhimpunan, mereka perlu patuh kepada peraturan. Mereka juga tidak terkecuali.

“Penganjur perlu memaklumkan kepada pihak polis dalam tempoh 10 hari,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengumumkan untuk menganjurkan Perhimpunan Solidariti Kedamaian Sabtu ini

Perhimpunan aman solidariti demi kedamaian dan menolak kebencian itu akan bermula di hadapan pusat beli-belah Sogo pada pukul 7 pagi sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka.

Ia bertujuan menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia menolak fahaman kebencian serta sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, minggu lalu. – K! ONLINE