Perak Hari Ini

Simposium Penjagaan Kritikal Kebangsaan 2019 Dedahkan Ilmu Perubatan Terkini Kepada Pegawai

IPOH: Bagi melengkapkan lagi diri para pegawai kesihatan dengan informasi berkaitan perubatan terkini, Simposium Penjagaan Kritikal Kebangsaan 2019 telah diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, di sini, hari ini.

Acara yang memasuki siri keempat itu dianjurkan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dengan kerjasama Pertubuhan Perubatan Kecemasan Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, simposium tersebut dalah penting bagi melengkapkan diri para pegawai perubatan dengan ilmu berkaitan pengurusan kecemasan yang selari dengan perkembangan semasa.

Katanya, tugas mereka masa kini bukan sekadar menjalankan rawatan kepada pesakit malah, kesemua pegawai perubatan juga harus memberikan penerangan dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat tentang perkembangan semasa ilmu perubatan.

“Dalam era media sosial kini, tugas ahli perubatan menjadi semakin mencabar apabila terdapat lambakan informasi berkaitan perubatan yang kurang sahih.

“Ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi pemikiran dan pemahaman masyarakat Malaysia. Sebagai contoh isu penolakan vaksin dalam kalangan ibu bapa.

“Hal ini merupakan satu fenomena membimbangkan yang mana ia bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Impaknya jelas apabila berlaku kembali wabak penyakit yang sudah lama dibasmi melalui Program Imunisasi Kebangsaan,” katanya.

Menurutnya, kesemua pegawai perubatan khususnya yang berada di unit kecemasan perlu peka dengan masalah ini dan dapat mengenal pasti sebarang langkah rawatan awal bagi mengelakkan jangkitan wabak penyakit daripada terus berlaku.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Penjagaan Kritikal Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Trauma Kementerian Kesihatan, Dr Mahathar Abd Wahab serta Ketua Jabatan Kecemasan HRPB, Dr Ramzuzaman Ismail.

Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Kecemasan Perak, Dr Adi Osman berkata, acara yang berlangsung selama dua hari itu dihadiri sekitar 600 orang peserta yang terdiri daripada pakar serta pegawai perubatan dari dalam dan luar negara.

“Simposium ini mengutarakan 109 topik yang berkisar tentang kaedah dan rawatan perubatan kecemasan. Ia dibentangkan oleh 48 speaker yang datang daripada Malaysia, Singapura, Qatar dan Indonesia.

“Para peserta pula terdiri daripada warga Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina dan Vietnam,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");