Membawang Hari Ini

Siti Sebak, Kenang Mangsa Tragedi Pada Konsert Jelajah

KUALA LUMPUR: Prihatin dan simpati atas nasib menimpa mangsa keracunan sisa toksik di Pasir Gudang, Johor dan tragedi keganasan di Christchurch, New Zealand, penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza menghentikan konsert selama beberapa minit, malam tadi.

Memetik laporan BH Online, Siti, 40, mengetuai lebih 10,000 peminat yang memenuhi Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, untuk bertafakur.

Dalam nada sebak, Siti yang mengakhiri siri jelajahnya, Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019, di sini, mengajak peminat mengenang semua mangsa terutama yang terkorban di New Zealand, selain anak seni tempatan yang meninggal dunia, baru-baru ini.

Tidak ketinggalan, Siti memberikan penghormatan kepada komposer terkemuka, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan melalui segmen khas.

Siti mendendangkan rangkaian lagu ciptaan Pak Ngah dan Adnan sebagai tanda terima kasih atas sumbangan mereka terhadap kerjaya seninya selama lebih dua dekad.

“Konsert pertama saya diadakan pada 1999, 20 tahun lalu, di lokasi yang sama. Ketika itu saya berusia dalam lingkungan 19 hingga 20 tahun, saya berimpian untuk mengadakan konsert pertama.

“Di situlah bermula kisah saya bersama Pak Ngah. Beliau menjadi pengarah persembahan bagi Konsert Siti Nurhaliza Live. Kenangan itu sangat istimewa, dan malam ini saya buat ‘throwback’ menghargai karyanya.

“Malam ini juga saya gembira kerana keluarga Allahyarham Adnan turut hadir. Saya takkan lupa jasa arwah dan isterinya,” kata Siti yang pernah mengeluarkan 25 album dan 250 lagu.

Terdahulu Siti memulakan siri jelajahnya di Jakarta, Indonesia pada 21 Februari dan Singapura (2 Mac).

Terharu dengan sambutan diterimanya sepanjang tiga konsert siri jelajahnya, Siti mengaku dia menangis sebelum melangkah masuk ke pentas.

Penyanyi bersuara emas itu juga terpaksa memujuk diri kerana bimbang tidak dapat menyanyi dengan baik, sepanjang konsert.

Pada persembahan di lokasi ikonik itu, Siti menyanyikan 29 lagu. Antaranya, Badarsila, Balqis, Hati Kama, Nirmala, Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Biarlah Rahsia, Demi Kasih Sayang, Siti Situ Sana Sini, Engkau Bagaikan Permata, Comel Pipi Merah, Percayalah, Bukan Cinta Biasa dan Anta Permana.

Siti turut menyanyikan lagu duet Seindah Biasa bersama penyanyi terkenal Indonesia, Tulus.

Manakala, Yura Yunita dan penyanyi muda, Natasha Sass, diberi kepercayaan untuk membuat persembahan pembukaan.

Konsert yang dibawakan oleh Shiraz Projects itu turut dihadiri oleh beberapa penggiat seni tanah air seperti Siti Sarah, Shuib, Khai Bahar, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Jihan Muse.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");