Jenayah

Suspek Kes Pembuangan Sisa Kimia Sg Kim Kim Disoal Siasat Polis

JOHOR BAHRU: Seorang daripada tiga suspek yang dipercayai membuang sisa  kimia di Sungai Kim Kim, Khamis lepas, telahpun disoal siasat oleh pihak polis berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata proses siasatan terhadap tiga suspek itu sedang berjalan.

“Setakat ini, tiada tangkapan tapi kita akan soal siasat (tiga suspek ini). Sekarang ni, terlalu premature (awal) untuk saya nyatakan (hasil siasatan),” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Seri Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini, hari ini.

Beliau juga telah mempengerusikan satu mesyuarat dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) malam tadi  untuk menyelaraskan siasatan.

“Kita dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), we are going to check (kita akan periksa). JAS akan membuat  pemeriksaan dan kita akan membantu dan kita berharap siasatan ini akan conclude (berakhir) seberapa kadar segera.

Setakat ini, pihaknya telah menerima 51 laporan polis berhubung pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia di sungai berkenaan minggu lepas.

Sementara itu, Mohd Khalil telah menyelar tindakan “mereka yang berpenyakit” yang seolah-olah mendapat peluang menyebar berita palsu berikutan insiden pencemaran ini.

“Setakat ini, tiada laporan berkenaan berita palsu insiden pencemaran ini. Kalau ada mereka yang buat laporan, kita akan siasat,” kata beliau.

Mohd Khalil berkata, pihaknya beserta agensi keselamatan lain telahpun turun ke “ground zero” menyelia dan membantu memantau situasi sekitar kawasan yang terjejas.

Beliau turut berkata Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, DSP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani turut menjadi seorang daripada mangsa pencemaran semalam ketika bertugas dan dihantar ke hospital.

“Keadaannya kini kembali pulih dan dia sedang berehat,” kata beliau.

Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan tugas antara Supt Ismail Dollah sebagai Ketua Polis Daerah Seri Alam yang baru dengan bekas Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Norazam Shaari, yang akan bertugas sebagai Pegawai Turus di PT Koordinasi Sumber Sokongan di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor- BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");