Sukan Hari Ini

‘Tak Patut Ejek Akhyar’

ALOR SETAR: Tindakan penyokong Lang Merah yang mengejek `boo’ terhadap pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid ketika dimasukkan pada penghujung babak kedua bagi menggantikan Safawi Rasid dianggap tidak profesional.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta’zim (KPBJDT), Azman Jalil berkata, sepatutnya penyokong menyambut baik bekas pemain Kedah itu yang kembali beraksi di Stadium Darul Aman pada aksi menentang Kedah dalam saingan Liga Super, malam tadi.

Katanya, walaupun Akhyar diejek dan diherdik namun dia tampak tenang dan mampu beraksi dengan baik di posisi sayap kanan malah hampir mengejutkan bekas pasukannya dengan melakukan hantaran lintang yang mengundang cemas benteng pertahanan Kedah.

“Kenapa perlu diejek. Bola sepak kita sudah lama di era profesional tetapi mentaliti penyokong masih tidak berubah dan terlalu beremosi. Biarlah Akhyar memilih karier bola sepak untuk menyertai JDT dan kenapa penyokong Kedah harus sentap.

“Anda sendiri lihat bagaimana kami melayan kehadiran Safiq (Rahim) yang kini bersama Melaka United, kami menghormati keputusan pemain itu berhijrah malah kami memberi tepukan gemuruh kepadanya sebagai tanda hormat kerana memberi sumbangan ketika bersama JDT.

“Tidak salah untuk kita menghormati keputusan pemain untuk berhijrah. Jadi saya harap penyokong Kedah bersikap matang dan tidak terlalu emosi.

Apa jua masalah antara Akhyar dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) biar mereka selesaikan. Kita sebagai penyokong terus beri sokongan tanpa perlu mengherdik mana-mana pihak,” katanya, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Ditanya mengenai gesaan Presiden Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA), Nor Asmadi Hamzah yang mahu pengendali JDT, Luciano Figueroa menurunkan Akhyar pada aksi menentang Kedah, malam tadi, Azman menyifatkan ia tidak menggambarkan semangat kesukanan.

”Apa kelayakan Nor Asmadi, adakah beliau memiliki sijil kejurulatihan Kelas A Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk mendesak Figueroa menurunkan Akhyar dalam perlawanan itu atau sekadar mahu melakukan provokasi supaya penyokong membenci pemain Bawah 23 tahun negara itu.

“Saya harap sesiapa sahaja tidak menjaga `tepi kain orang’ lebih baik jaga `tepi kain sendiri’. Kami dalam kelab penyokong sentiasa menghormati pasukan lawan jadi apa salahnya penyokong lawan menghormati pasukan JDT bagi memastikan kerancakan Liga Malaysia (Liga M),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");