Perak Hari Ini

Tambah Baik Amalan 5S, MBI Umum Laksanakan EKSA

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengorak setapak ke hadapan apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut kini sedang berusaha ke arah memperolehi persijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).

Ahli Majlis MBI, Puteri Holijah Muhamad Rali berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut merupakan Amalan 5S versi baharu yang dikhususkan kepada sektor awam di negara ini yang juga menyokong pewujudan persekitaran kerja yang kondusif.

Namun katanya, EKSA bukanlah bertujuan bagi menggantikan Amalan 5S sebaliknya inisiatif yang dilaksanakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) itu bertujuan bagi menambah baik Amalan 5S.

“Pelaksanaan EKSA ini amat penting kerana selaku PBT di Perak, MBI harus sentiasa dinamik dan berusaha merintis jalan bagi memajukan organisasi dan Bandaraya Ipoh.

“MBI seharusnya tidak mudah berpuas hati dengan cara kerja yang lama tetapi, harus memikirkan sesuatu agar satu lonjakan dapat dicapai MBI,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan EKSA bukan sahaja di ibu pejabat MBI malah ia turut dilaksanakan di semua pejabat luar MBI seperti di Pusat Rekreasi Gunung Lang, Perpustakaan Tun Razak, Pejabat Pelancongan MBI serta pejabat MBI di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh.

Jelasnya, semua zon pelaksanaan EKSA akan dikawal selia oleh seorang ketua zon.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Gotong-Royong Perdana EKSA di Perkarangan Bangunan MBI, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kata Holijah sebagaimana dilakukan pada Amalan 5S, beliau mencadangkan agar pengauditan EKSA dijalankan dua kali setahun dan pada setiap bulan ianya hendaklah dipantau oleh semua ketua zon yang dilantik.

Ujarnya, MBI telah melaksanakan Amalan 5S semenjak daripada tahun 2011 dan bermula 2018, pihak pengurusan tertinggi MBI telah mengarahkan agar EKSA dilaksanakan di PBT tersebut.

“Pelaksanaan EKSA ini sudah pun dimasukkan dalam kriteria pengauditan penarafan bintang PBT.

“Ia tidak diwajibkan dan tertakluk kepada mana-mana PBT untuk dilaksanakan namun MBI tetap melaksanakannya bagi kita mendapat markah penuh bagi pengiktirafan oleh MAMPU,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");