Berita Hari Ini

‘Tiada Bahan Tak Halal Dalam Vaksin di Malaysia’

Kementerian Kesihatan memberi jaminan vaksin yang digunakan di negara ini tidak mempunyai sebarang elemen tidak halal.

Timbalan menterinya Dr Lee Boon Chye berkata, setiap vaksin dihasilkan telah melalui kajian teliti oleh pakar perubatan berkelayakan menerusi kajian terperinci yang terbukti berkesan kepada penerima khususnya kanak-kanak.

“Walaupun pembinaan kilang vaksin halal pertama akan dibina, ia tidak bermaksud penggunaan vaksin selama ini tidak berstatus halal.

“Sesiapa sahaja yang mahu membina kemudahan pengeluaran untuk vaksin atau produk perubatan, kami sentiasa mengalu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Kebangsaan 2019 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sultan Azlan Shah di Ipoh hari ini.

Dr Lee diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa pembinaan kilang vaksin halal pertama di negara ini adalah disebabkan vaksin yang digunakan selama ini mengandungi bahan tidak halal.

Pada 3 Mac lepas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata kilang vaksin halal pertama di negara ini bakal dibina di Negeri Sembilan tidak lama lagi, untuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara pengeluar vaksin utama dunia.

Beliau berkata pembinaan kilang itu merupakan langkah terbaik dilakukan kerajaan untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap vaksin yang dikeluarkan serta diberikan kepada anak-anak mereka.

Terdahulu, Dr Lee dalam ucapan perasmiannya berkata bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik disediakan untuk rakyat dan pada masa sama kebajikan anggota kesihatan tidak terabai, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk mengimbangi keperluan tersebut.

Beliau berkata antara inisiatif dilaksanakan bermula tahun ini adalah tawaran pelantikan secara kontrak kepada 3,135 graduan Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, termasuk 1,292 pelatih penolong pegawai perubatan yang menamatkan latihan pada 2017.

“Selain itu, bagi profesion penolong pegawai perubatan, Lembaga Pembantu Perubatan secara berterusan telah mengenal pasti kekosongan perjawatan untuk melaksanakan proses kenaikan pangkat kepada yang layak,” katanya.

Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");