Berita Hari Ini

Tiga Lelaki Didakwa Hina Nabi Muhammad, Islam

Tiga lelaki didakwa atas 11 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini berhubung kes menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam di laman sosial.

Penganggur, Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, mengaku bersalah, manakala penjaja, Chow Mun Fan, 43, dan pekerja kedai serbaneka, Danny Antoni, 28, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Hasbullah menetapkan 11 Mac untuk pendengaran fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Yazid.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Yazid didakwa menghantar komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati melalui aplikasi Facebook dengan profil nama ‘Yazid Kong’, pada jam 8.21 malam, 24 Februari lalu.

Hantaran itu kemudian dibaca oleh seorang pengguna Facebook lain, laman profil ‘Mohamad Syafiq’ di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Jalan Taman Melati, Wangsa Maju, di sini, pada jam 12 tengah hari, 1 Mac.

Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama. Tertuduh boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Chow pula didakwa atas satu pertuduhan menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil ‘Alvin@Alvin15358333’, membuat kenyataan yang mungkin mengapikan kaum Melayu dengan bukan Melayu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penjaja itu turut didakwa atas tujuh lagi pertuduhan memuat naik hantaran yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni di antara penganut Islam dan bukan Islam pada jam 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac.

Semua hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada jam 8.30 malam, 3 Mac lalu.

Danny pula didakwa atas dua pertuduhan menggunakan laman profil ‘Danny A’antonio Jr’, memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni di antara penganut Islam dan bukan Islam pada jam 1.21 pagi, 9 Januari.

Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada 10 pagi, 4 Mac.

Bagi semua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal. Mohamad Yazid dan Chow diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh, manakala Danny tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Muhamad Asyraf berkata, pihak pendakwaan membantah sebarang permohonan jaminan terhadap semua tertuduh atas alasan mereka menghina agama, nabi dan anggota keselamatan yang meninggal dunia semasa bertugas.

Hujahnya lagi, pihak pendakwaan komited untuk menyelesaikan kes dalam masa yang singkat kerana ia membabitkan kepentingan awam, mengambil kira faktor hampir 1,000 laporan polis mengenai kes itu dibuat di seluruh negara.

“Keadaan ini boleh mengundang kemarahan dan sekiranya tidak dikawal dengan baik, boleh menjejaskan keselamatan negara. Saya mohon tiada jaminan dibenarkan,” katanya.

Katanya, semua tertuduh perlu diasingkan sementara dari masyarakat dan akses internet kerana risiko adalah tinggi untuk mereka mengulangi kesalahan sama sekiranya jaminan dibenarkan.

Beliau turut memaklumkan, Mun Fan pernah didakwa sebanyak dua kali di Kuala Lumpur dan Muar, Johor atas kesalahan sama yang berunsur penghinaan, namun dilepas tanpa dibebaskan kerana tidak hadir ke mahkamah sehingga ada beberapa waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Mohd Sophian pula berhujah, tertuduh memuat naik hantaran itu secara terancang dan menggunakan perkataan jelik dan keras dengan tujuan ingin meletakkan nabi dan Islam pada tempat yang serendah-rendahnya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");