Berita Hari Ini

Trajedi Christchurch: Kerajaan Diminta Gesa OIC Adakan Mesyuarat Tergempar

GEORGE TOWN: Citizens International meminta kerajaan menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan insiden serangan kejam di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, S.M. Mohamed Idris berkata mesyuarat tersebut juga adalah untuk membincangkan punca serangan itu dan merangka pelan untuk memerangi penyebaran perasaan membenci terhadap umat Islam dan Islam.

“Kerajaan Barat tidak mengambil tindakan terhadap individu, badan pemikir dan media yang menghasut kebencian terhadap umat Islam.

“Mereka menganggap tindakan meniupkan sentimen kebencian yang boleh mengakibatkan keganasan terhadap umat Islam sebagai melaksanakan kebebasan bersuara, tetapi sebaliknya menganggap tindakan memboikot Israel dan kritikan terhadap zionisme sebagai jenayah.

“Kegagalan mereka untuk mengambil tindakan terhadap anasir-anasir yang mengapi-apikan perasaan membenci adalah seperti menggalakkan permusuhan terhadap Islam dan umat Islam yang mengakibatkan keganasan ke atas mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu, lapor Bernama.

Beliau juga menggesa kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan yang tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebarkan sentimen membenci terhadap terhadap umat Islam dan Islam yang berlaku di dunia hari ini yang menyaksikan pembunuhan ramai umat Islam yang menunaikan ibadah dalam masjid.

Mohamed Idris berkata Citizens International mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam lebih 40 umat Islam di dua masjid di Christchurch, New Zealand oleh pengganas supremasis kulit putih.

“Kami mengucapkan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa dan mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat. Kami juga mendoakan semoga mereka yang mereka yang cedera dalam serangan itu segera sembuh,” katanya.

BACA: Serangan masjid Christchurch: Tiga rakyat Malaysia cedera, seorang masih hilang

Kementerian Luar pada Jumaat mengesahkan bahawa dua rakyat Malaysia cedera dalam insiden itu. Bagaimanapun seorang lagi warga Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden serangan tersebut yang dilabelkan oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern sebagai sebagai terorisme.

Sekurang-kurangnya 49 orang maut dan berpuluh-puluh yang lain cedera dalam insiden penembakan kejam itu yang berlaku pada 1.40 tengah hari waktu tempatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");