Sukan Hari Ini

TSC Lebih Fokus Hadapi LTdL 2019

KUALA LUMPUR: Persiapan rapi sejak tiga bulan lalu membolehkan pasukan benua Asia, Sapura Cycling Team (TSC) lebih bersedia untuk menghadapi saingan edisi ke-24 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang bakal membuka tirainya pada 6 hingga 13 April ini.

Malah, pengurus pasukan Sayuti Zahit memfokuskan jersi Kuning sebagai sasaran utama selain jersi pelumba terbaik Asia menerusi tiga pelumba muda berbakat besar yang akan diturunkan dalam perlumbaan membabitkan lapan peringkat.

LTdL 2019 dijadual bermula di Kuala Lumpur dan berakhir di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,226.1 kilometer.

Menurut bekas pelumba kebangsaan itu, Peringkat 4 dari Shah Alam ke Genting Highlands amat penting dalam perancangan dan strategi Sapura untuk merealisasikan impian besar mereka pada 2019 ini – tahun ketiga mereka bergelar pasukan benua Asia.

“Kami berharap pada LTdL tahun ini, kami dapat memberi saingan tahun ini terutamanya di peringkat penting ke Genting Highlands yang seterusnya akan mencorakkan strategi pasukan ini.

“Buat masa ini, kami akan mengambil pendekatan satu peringkat ke satu peringkat dan berharap enam pelumba yang disenaraikan kali ini dapat memikul tugas dan peranan yang diberikan setiap hari.

“Ketika ini, kami menduduki senarai teratas dari segi pungutan masa pasukan benua Asia dan saya berharap posisi ini dapat dikekalkan selepas tamat LTdL 2019 dan sehingga penghujung tahun ini,” kata Sayuti.

Enam pelumba yang mengibar cabaran TSC pada jelajah terunggul Asia berstatus 2HC ini ialah tiga wakil tempatan – Muhamad Zawawi Azman, Muhamad Nur Aiman Zariff dan Akmal Hakim Zakaria manakala tiga pelumba luar yang memperkuatkan pasukan itu adalah pelumba Australia, Benjamin Dyball, Jesse Ewart dan Cristian Relianue.

Tiga anak watan yang memperkuatkan cabaran TSC turut dilihat semakin mantap sejak kebelakangan ini apabila diberi pendedahan berguna di Herald Sun Tour, Jelajah Taiwan dan Tour de Tochigi di Jepun khususnya Muhamad Zawawi dan Nur Aiman.

“Kami berharap Dyball dan Muhamad Zawawi mampu memberi saingan dalam perebutan jersi kuning terutama di Genting Highlands manakala Nur Aiman pula mampu melakukan sesuatu dalam kategori pelumba terbaik Asia,” kata Sayuti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");