Sukan Hari Ini

TSG Sasar Sederhana Di LTDL 2019

KUALA LUMPUR: Terengganu Cycling Team (TSG) mensasarkan kelompok lima terbaik individu keseluruhan termasuk dua kedudukan podium pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 dari 6 hingga 13 April ini.

Ketua Pegawai Operasi TSG Nasiruddin Wan Idrus berkata, pasukan benua itu meletakkan sasaran sederhana kerana tidak mahu memberikan tekanan kepada barisan pelumbanya pada edisi kali ini.

Berdasarkan rekod pencapaian edisi lalu, sandaran diletakkan ke atas Artem Ovechkin dan Drew Morey untuk peringkat pendakian manakala Mohd Harrif Saleh dan Youcef Reguigui untuk mengejar podium.

“Mohd Zamri Saleh masih dikekalkan sebagai kapten pasukan dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki akan memberi bantuan pada saat-saat yang diperlukan pasukan,” kata Nasiruddin.

Menurut Nasirudin TSG yang kini menduduki tangga kedua ranking Jelajah Asia UCI dilihat mampu mempertahankan jersi kuning yang dimenangi Ovechkin pada edisi tahun lalu.

Pada edisi kali ini, Ovechkin dibantu oleh pelumba berpengalaman, Morey bagi merebut tempat pada saingan di peringkat pendakian di Genting Highlands yang disenaraikan semula kali ini.

Khidmat pemenang edisi 2015, Reguigui juga akan digunakan oleh TSG bagi merebut kelompok hadapan pada saingan henjutan beramai- ramai di peringkat laluan mendatar bersama-sama Zamri Saleh dan pakar pecut negara, Harrif.

Saingan jelajah berbasikal tertua di Asia ini bakal disertai oleh 22 pasukan yang melibatkan lapan peringkat perlumbaan. Perlumbaan akan bermula di hadapan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur pada 6 April sebelum melabuhkan tirainya di Langkawi pada 12 dan 13 April.

Peringkat pendakian di Genting Highlands setinggi 1,700 meter menjadi tarikan utama jelajah kali ini yang bermula dari Shah Alam pada peringkat empat dan menyusuri laluan pantai barat Semenanjung Malaysia sejauh 1,250 kilometer. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");