Berita Hari Ini

Usaha Tunai Manifesto Terbantut Kerana Ada Kekangan: PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan terus berusaha menunaikan janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) walaupun tidak mudah akibat kekangan undang-undang dan peraturan sedia ada.

Perdana Menteri berkata, perbuatan kerajaan yang terdahulu serta undang-undang sedia ada tidak memudahkan usaha kerajaan menunaikan janji manifesto.

Katanya, jika tiada kekangan itu sepatutnya semua janji manifesto sudah dapat ditunaikan.

“Sepatutnya (sekarang), kita sudah lihat mereka yang melakukan kesalahan ke atas kewangan negara khususnya dalam kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah didakwa di mahkamah tetapi kita hormati (mahkamah) kerana ditangguhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (BN-UMNO Pontian) pada sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di sini, hari ini.

Ahmad dalam soalan tambahannya ingin mengetahui sebab kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Dr Mahathir berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan dan menghormati undang-undang walaupun rakyat tertanya-tanya mengapa mereka yang jelas melakukan rasuah tidak dikenakan tindakan.

Katanya, kerajaan tetap berusaha dan akan memastikan tindakan yang diambil mematuhi undang-undang sedia ada.

Menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS Kubang Kerian) mengenai usaha mendapatkan wang diselewengkan dalam kes 1MDB dan yang dirampas Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, beliau berkata sejak mengambil alih pentadbiran negara, kerajaan berusaha mengesan penyelewengan yang berlaku oleh kerajaan sebelum ini.

“Kita juga tumpu kepada pengurusan syarikat berkenan. Hakikatnya, wang yang dipinjam syarikat itu RM42 bilion sudah hilang dan tidak dapat dikesan.

“Kerajaan terus berusaha mendapatkan semula wang berkenaan,” katanya.

Terdahulu menjawab soalan Lim Kit Siang (PH-DAP Iskandar Puteri) mengenai perkembangan kempen mengubah Malaysia dari sebuah negara kleptokrasi kepada negara berintegriti, katanya, pelbagai usaha sedang diambil bagi memastikan Malaysia dikenali sebagai negara berintegriti .

Katanya, ini termasuk dengan penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri pada 8 Jun tahun lalu.

GIACC kemudiannya menubuhkan dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Khas Kabinet Anti-Rasuah dan Jawatankuasa Anti-Rasuah.

“Kedua-dua jawatankuasa sudah pun bersidang beberapa kali dan membuat beberapa keputusan penting dalam penambahbaikan dasar berkaitan rasuah dan integriti termasuk pengisytiharan harta dalam kalangan anggota Kabinet, anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen kerajaan.

“Keduanya, jawatankuasa itu juga memberi takrifan pelantikan ahli politik yang tidak sesuai sebagai ahli lembaga pengarah sesebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Selain itu, katanya, jawatankuasa membuat penambahbaikan dan penetapan dalam mekanisme pemberian dan penerimaan hadiah oleh ahli Kabinet, anggota pentadbiran dan penjawat awam.

Menjawab soalan Kit Siang mengenai mengembali imej Malaysia sebagai negara berintegriti, katanya kerajaan akan terus menjalankan usaha untuk menentukan imej Malaysia sebagai sebuah negara berintegriti dikembalikan, malah menjadi lebih baik sekarang dan pada masa hadapan memetik laporan BHarian.

“Sejak ambil alih, kita pastikan negara ditadbir secara bersih dan tidak didasari kepentingan peribadi sehingga menyebabkan kerugian kepada negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");