Berita Hari Ini

Wan Azizah Berceramah Di Kubu Kuat BN

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam ini bertandang di kubu lawan apabila menghadiri ceramah kelompok di Kampung Sri Lalang, Rantau.

Berdasarkan data pilihan raya umum ke-14 di peringkat parlimen, sebanyak 56.7 peratus pengundi Sri Lalang menyokong BN,  37.4 peratus menyokong Pakatan Harapan (PH), manakala 4.4 peratus lagi menyokong PAS.

Sekitar 200 orang menghadiri ceramah itu yang mana hampir kesemua mereka terdiri daripada ahli PKR atau komponen PH.

Seorang lelaki yang bercakap kepada Malaysiakini berkata dia merupakan sukarelawan PH yang datang dari Pahang untuk membantu kempen.

Sebahagian besar mereka bersurai selepas Wan Azizah beredar daripada majlis itu pada jam 9 malam, meninggalkan segelintir sahaja mendengar ceramah yang diteruskan oleh penceramah tempatan.

Wan Azizah sendiri menyedari tidak ramai penduduk tempatan yang hadir apabila mereka menyatakan ‘boleh’ mengundi PH ketika ditanya.

“Yang cakap boleh ni boleh undi tak? Kadang-kadang cakap boleh tapi tak boleh undi. Cakap je banyak, action je. Kita nak sampaikan (mesej) kepada pengundi,” katanya.

Wan Azizah mengesahkan kehadirannya pada ceramah kelompok itu kira-kira jam 1 petang tadi, menyebabkan petugas parti mempunyai masa terhad untuk mempromosikan acara itu.

Malaysiakini difahamkan mereka yang kempen menghadapi beberapa masalah dengan jadual ketat pemimpin PH yang kini memegang jawatan dalam kerajaan.

Faktor lain mungkin disebabkan kurang sokongan untuk PH di daerah mengundi berkenaan.

“Ini masih kubu totok BN,” kata Hassam Dollah, 65 kepada Malaysiakini.

Hassam, yang isterinya merupakan ketua wanita PKR Sri Lalang, Kamisah Mat Shah berkata hanya 400 orang aktif menyokong PH di daerah mengundi itu.

Angka itu berdasarkan undi yang diterima PH di peringkat Parlimen pada pilihan raya umum yang lalu.

Setiausaha PKR Seri Lalang Shamsuri Mustafa, bagaimanapun bersikap lebih optimis.

Beliau berkata kira-kira 50 penyokong Umno telah keluar parti dan menyertai PKR selepas pilihan raya lepas.

Walaupun mengakui BN mempunyai kelebihan, Shamsuri berkata beliau percaya PH akan dapat merapatkan jurang dengan BN pada hari pengundian 13 April nanti.

“Nanti ia 50-50,” kata Shamsuri.

Sebelum berucap, Wan Azizah meluangkan sedikit masa melawat dua buah rumah di Sri Lalang.

Pilihan raya kecil Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan untuk membatalkan kemenangan calon BN, Mohamad Hasan tahun lepas.

Ini berpunca daripada tindakan pegawai SPR menghalang calon PH, Dr S Streram daripada memfailkan kertas pencalonannya pada pilihan raya umum 2018.

PRK itu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohamad, Streram serta dua calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");