Perak Hari Ini

Zambry Diminta Perjelas Isu Kenaikan Kos MAPS

IPOH- Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir diminta untuk memberikan penjelasan terhadap kenaikan kos terhadap Movie Animation Park Studios (MAPS).

Pengerusi Jawatankuasa Audit Perak Corporation Berhad (PCB), Chong Zhemin berkata, hal tersebut merupakan satu fakta yang tidak pernah didedahkan oleh pihak pengurusan sebelumnya.

“Sebagai bekas Pengerusi PKNP, mengapakah Zambry membenarkan PBC Development Sdn Bhd (PCBD) yang hanya memiliki 51 peratus daripada Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) bertanggungjawab sepenuhnya untuk pembiayaan tambahan bagi membina dan membangunkan MAPS dengan meluluskan tiga perjanjian pendahuluan pemegang saham yang berjumlah RM250,000,000.

“Sedangkan RSG Maps Sdn Bhd (RSGM) yang memegang 49 peratus dari ATP hanya mengeluarkan bayaran pendahuluan sebanyak RM6,250,000 kepada ATP.

“Kos kenaikan MAPS dari kos asal adalah RM390,000,000 kepada kos sebenar adalah sebanyak RM607,000,000,” katanya dalam satu sidang media di MAPS di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Audit Dalaman PCB, Encik Annas Asqalanee Ab Ghafar, Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Encik Mohamed Shafeii Abdul Gaffoor dan Ketua Pegawai Kewangan PCB Encik Ramlan Abdul Rahman.

Selain itu katanya, hal ini menunjukkan sejumlah RM204,000,000 dari pendahuluan pemegang saham diberikan kepada ATP oleh PCB sedangkan RSGM hanya membayar jumlah kecil iaitu RM6,250,000 sahaja.

“Daripada perjanjian pendahuluan pemegang saham yang diluluskan iaitu sebanyak Rm250,000,000, PCBD telah terlebih dahulu membayar sejumlah RM198,000,000 kepada ATP dengan penambahan sebanyak RM6,000 sebagai bayaran pendahuluan dari PCB kepada ATP.

Tambah beliau lagi, beliau bersetuju dengan pendapat Audit Dalaman untuk membuat kajian mengenai rekod Sanderson Design Group (Malaysia) Sdn Bhd (SDGM) bagi menentukan aliran keluar tunai.

“SDGM merupakan kontraktor utama tetapi telah dipindahkan kepada Calgary Global Group Limited, syarikat yang diperbadankan di British Virgin Island pada 31 Oktober 2017 lalu.

“Pada bulan Mei 2018 semasa mesyuarat pemiutang yang dipanggil oleh pelikuidasi, kami diberitahu bahawa SDGM hanya mempunyai RM1,500 dalam akaun bank mereka dan PCBD telah memfailkan tuntutan dengan pelikuidasi berjumlah RM131,000,000,” katanya.

Dalam pada itu katanya lagi, beliau akan membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang akan datang dan mencadangkan kepada PAC untuk melihat semula akaun SDGM.

“Saya juga akan terus membuat kenyataan mulai dari hari ini sehingga pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 April 2019,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");