Sukan Hari Ini

Zii Jia Akui Hadapi Tekanan Tanpa Chong Wei

KUALA LUMPUR – Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei jelas memberi sedikit tekanan kepada pemain muda negara, Lee Zii Jia, untuk menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Terbuka Malaysia, minggu depan.

Zii Jia bagaimanapun yakin pengalaman menentang beberapa pemain ternama dunia sebelum ini dapat membantu menyerap tekanan berkenaan, sekali gus menghadirkan keputusan positif pada kejohanan bernilai AS$700,000 (RM2.852 juta) itu.

Katanya, pertemuan dengan pemain No. 4 dunia, Viktor Axelsen dari Denmark pada Malaysia Masters, Januari lalu dan pemain No. 3 dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan pada Terbuka Jerman awal bulan ini membantu mematangkan permainannya.

“Saya harap dapat mengekalkan rentak di atas gelanggang apabila beraksi nanti,” kata pemain berusia 20 tahun itu dalam kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini, lapor Bernama.

Dalam pada itu, anak jati Kedah itu mengakui sukar untuk mencabar pencapaian 12 kali kejuaraan Terbuka Malaysia yang dimenangi Chong Wei, namun percaya kejayaan demi kejayaan akan hadir sekiranya beliau bekerja keras seperti pemain utama negara itu.

Zii Jia yang menghuni ranking ke-21 dunia akan membuka kempen dengan menentang pemain No. 33 dunia, Suppanyu Avihingsanon dari Thailand.

Dalam dua pertemuan mereka berdua sebelum ini, Zii Jia menang 21-14, 21-21 pada Kejohanan Berpasukan Asia, Februari lalu dan kalah 21-18, 21-12 pada Terbuka Thailand, Julai tahun lalu.

Seandainya, berjaya melepasi halangan tersebut, tugas sukar menantinya pada pusingan kedua sama ada berdepan bekas juara dunia dan pemenang Sukan Olimpik, Lin Dan dari China atau Chou.

Satu lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki adalah pemain profesional, Liew Daren yang bakal berdepan seorang lagi pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen pada pusingan pertama.

Chong Wei dinasihatkan oleh doktor peribadinya supaya menarik diri daripada pertandingan Tahap 3 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu bagi memastikan anggota tubuhnya tidak menghadapi tekanan yang tidak sewajarnya.

Untuk rekod, Chong Wei berehat daripada badminton selama lapan bulan selepas mendapatkan rawatan untuk kanser hidung di Taiwan.

Pemain berusia 36 tahun itu menjuarai Terbuka Malaysia pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011,2012, 2013, 2014, 2016 dan 2018.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");