Berita Hari Ini

149 Karya P Ramlee Diisytihar Warisan Kebangsaan

PUTRAJAYA: Sebanyak 149 hasil karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee antara 255 butiran yang diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata pengiktirafan itu diberikan oleh pelbagai pihak dalam negara termasuk kerajaan negeri, agensi serta pertubuhan berkaitan.

Beliau berkata, usaha itu bertujuan menjadikan karya P Ramlee sebagai khazanah budaya negara.

“Selain gubahan lagu, dua trofi diterima Allahyarham di anugerah Festival Filem Asia Pasifik turut menjadi khazanah warisan negara iaitu Anugerah Filem Komedi Terbaik untuk filem ‘Madu Tiga’ pada 1964 dan Anugerah Seniman Serba Boleh pada 1965.

“Penting untuk mewartakan warisan ini kerana ia mampu memberi impak positif yang melangkau pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat.

“Selain itu, hasil warisan ini dapat menjana ekonomi negara melalui produk pelancongan warisan,” katanya pada sidang media sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohamaddin berkata, sepanjang pentadbiran kerajaan PH sejak 9 Mei 2018, antara kejayaan lain kementeriannya ialah apabila Malaysia mengekalkan rekod sebagai 10 negara destinasi pelancongan terbaik dunia tahun lalu.

“Rekod ini petunjuk bahawa Malaysia berada di landasan betul bagi mencapai pertumbuhan industri pelancongan yang mapan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 dengan slogan ‘KL Baca – Caring Through Reading’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ia susulan penganjuran Kongres Sedunia Perpustakaan dan Maklumat (IFLA 2018) di Kuala Lumpur yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Katanya, Kuala Lumpur dipilih sebagai Kota Buku Dunia 2020 kerana fokus yang tinggi terhadap pendidikan inklusif, pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan kebolehcapaian membaca kepada segenap populasinya.

“Program hebat bagi Ibu Kota Buku Dunia ini dihubungkan dengan Wawasan 2020 bagi Kuala Lumpur dan projek eko-bandar raya dikenali ‘Sungai Untuk Kehidupan’ dengan menempatkan kedai buku dan perpustakaan terbuka berhampiran laluan air yang baru dibaik pulih di ibu negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata, beliau akan ke Melaka, Jumaat ini bagi menyampaikan sijil pengiktirafan UNESCO Dondang Sayang kepada kerajaan negeri itu.

“Seni dan warisan yang sinonim dengan Melaka iaitu Dondang Sayang kini diiktiraf oleh UNESCO. Ini sangat penting kerana ia bertujuan untuk melindungi warisan kebudayaan tidak ketara di seluruh dunia,” katanya kepada BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");