Panasnya Hari Ini

2 Projek Sandakan Disebut Guan Eng Diluluskan BN – KJ

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengingatkan dua projek pembangunan yang disebut Kementerian Kewangan semalam bukanlah projek baru, sebaliknya diputuskan ketika pentadbiran BN.

Beliau merujuk rancangan tebatan banjir Sungai Anip (RM40 juta) dan projek pembesaran lapangan terbang Sandakan (RM80 juta) yang menurutnya diluluskan bawah Rancangan Malaysia ke-11 pada 2015, dan bagi tempoh 2016-2020.

“Keputusan kerajaan PH untuk meneruskan projek pembangunan yang dirancang ketika pentadbiran BN harus dihargai. Kalau hendak ambil kredit pun, silakan.

“Sekalipun hendak mencari laba politik menjelang PRK Sandakan, janganlah menutup kebenaran sebenar seolah-olah projek yang dilaksanakan ini adalah projek baru di bawah PH,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam, lapor MalaysiaKini.

Ia susulan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam berkenaan kelulusan 49 projek pembangunan bernilai RM2.28 bilion di daerah Sandakan, Sabah.

Lim berkata ia bakal memanfaatkan hampir 400,000 penduduk di Sandakan.

Mengulas lanjut, Khairy berkata bekas perdana menteri Najib Razak telah mengumumkan RM80 juta peruntukan untuk projek naik taraf landasan lapangan terbang itu pada 7 Mei 2017.

Katanya lagi, projek tebatan banjir Sungai Anip juga hanyalah sambungan daripada perancangan awal yang dibuat oleh BN sebelum ini.
“Jika disemak kemaskini terakhir di laman web Jabatan Pengairan dan Saliran pada 12 Disember 2017, jelas sekali PTB ini sememangnya telah dirancang awal oleh kerajaan BN untuk penduduk Sandakan,” katanya lagi.

Khairy turut menyindir masa kenyataan itu yang dibuat kira-kira dua minggu sebelum PRK Sandakan, yang dijadual berlangsung 11 Mei ini.

“Hari ini (semalam) Lim mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mengingatkan kepada penduduk Sandakan tentang jumlah peruntukan yang telah disalurkan kerajaan persekutuan kepada daerah Sandakan.

“Mungkin kenyataan akhbar ini hanyalah kebetulan dan tiada kena mengena dengan kempen PRK Sandakan yang akan bermula pada Sabtu ini,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");