Perak Hari Ini

25 Negara Sertai Kejohanan Tenis ITF World Junior 18U Di Ipoh

IPOH- Sebanyak 25 buah negara akan menyertai Kejohanan Tenis ITF World Junior 18U yang akan berlangsung di Arena Tenis Perak, Ipoh, Perak dari 21 hingga 28 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata kali terakhir ITF World Junior datang ke Ipoh adalah pada tahun 2014 dan atas sebab-sebab tertentu kejohanan ini telah dihentikan.

“Namun pada tahun ini, kejohanan ini telah kembali dan bakal menampilkan pemain-pemain bertaraf dunia yang datang daripada pelbagai negara antaranya India, Sri Lanka, Hong Kong, Taiwan, Belanda dan banyak lagi.

“Bagi kejohanan nanti, wakil daripada negeri Perak iaitu Mitsuki Leong akan turut bertanding dalam merebut kejuaraan dalam pertandingan tersebut,” katanya.

Ujarnya lagi, Mitsuki merupakan seorang pemain tenis yang berkaliber dan merupakan pemenang pingat emas di Sukan MSSM 2019 serta telah mewakili negara di beberapa kejohanan antarabangsa.

Empat lagi pemain negeri yang bakal beraksi adalah Hannah Yip, seorang pemain tenis wanita dan merupakan pemenang anugerah Li-Na 2018, Daniel Leong Pricket, Pavel Liam Thadani dan Ishan Singh, yang masing-masing mempunyai pengalaman bermain di peringkat antarabangsa sebelum ini.

Sehubungan dengan kejohanan ini juga, Perak Lawn Tennis Association (PLTA) akan mengadakan klinik mini tenis  yang akan diselenggarakan oleh jurulatih pakar.Klinik berkenaan bakal memberi pendedahan awal mengenai sukan tenis malah peserta juga berpeluang untuk beramah mesra dengan pemain negara dan luar negara.

Terdahulu, pada 13 dan 14 April yang lalu berlangsungnya Kejohanan Minitenis Terbuka Jemputan Perak 2019 dimana ia merupakan kejohanan yang pertama di Malaysia dan lebih 70 orang peserta dari lingkungan umur 8 hingga 10 tahun telah mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");