Berita Hari Ini

Agong Bakal Ada Kuasa Isytihar Kawasan Keselamatan

KUALA LUMPUR- Pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Yang di-Pertuan Agong bakal mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai ‘kawasan keselamatan’.

Kuasa itu mengikut Akta MKN sebelum ini diperuntukkan kepada Perdana Menteri.Pindaan Akta MKN 2016 itu dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dan menurut Mohamed Hanipa, pindaan itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada mesyuarat kali ini.

Menurut rang undang-undang yang diedar kepada media hari ini, peruntukan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong itu terkandung dalam Fasal 3 bertujuan meminda Seksyen 18 Akta MKN (Akta 776) itu.

“Seksyen 18 (1) dipinda bagi menggantikan perkataan ‘Perdana Menteri’ di mana-mana jua terdapat dengan perkataan ‘Yang di-Pertuan Agong’,” kata rang undang-undang itu.

Pada 1 Julai lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 adalah antara undang-undang yang dikaji oleh kerajaan untuk dipinda atau dimansuhkan memandangkan ada antaranya yang digunakan kerajaan terdahulu untuk menyekat kebebasan rakyat.

Akta Majlis Keselamatan Negara, yang diluluskan Dewan Rakyat selepas bacaan ketiga pada Disember 2015 dan berkuat kuasa 1 Ogos 2016, antara lain membolehkan Perdana Menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai ‘kawasan keselamatan’ dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.

Pindaan rang undang-undang itu juga antara lain menyentuh mengenai Seksyen 21 yang memperuntukkan kuasa Pengarah Operasi untuk meminta apa-apa maklumat daripada mana-mana individu atau entiti selain kerajaan, apa-apa maklumat atau risikan dalam milikannya.

“Kuasa Pengarah Operasi itu hendaklah dijalankan demi kepentingan keselamatan negara dan berhubung dengan sesuatu kawasan keselamatan,” kata rang undang-udang itu.

Menurut rang undang-undang itu, jika mana-mana individu atau entiti selain entiti kerajaan ingkar dengan arahan tersebut, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 37 Akta 776 yang turut dipinda.

Pindaan itu melibatkan kenaikan tempoh pemenjaraan dari dua tahun kepada lima tahun selain denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya memetik laporan Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");