Menurut bintang drama Kekasih Paksa Rela itu, kedua-dua belah keluarga sepakat untuk memilih Februari sebagai tarikh perkahwinan sejurus melangsungkan majlis pertunangan pada Aidilfitri atau penghujung Jun nanti.

Jelas Ain atau nama penuhnya Nurulain Edruce, dia sudah lama mengimpikan untuk hidup berumah tangga memandangkan usianya yang sudah menjangkau 28 tahun selain bersedia untuk beralih ke satu fasa sebagai seorang isteri.

“Pada saya jika ditanya mengenai persediaan bergelar dan memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri, ia merupakan satu perkara yang amat subjektif dan saya perlu melaluinya sendiri.

“Saya yakin dan percaya ia selalunya hadir bersama rasa tangggungjawab yang perlu kita galas. Lagipun, sudah tiba masanya untuk saya berumah tangga dan merasa sendiri amanah ini. Saya juga teringin untuk mempunyai keluarga dan zuriat sendiri,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Bercerita lanjut mengenai buah hatinya yang merupakan ahli perniagaan, pengacara rancangan MBuzz itu memberitahu, dia sudah mengenali Amirul lebih daripada setahun dan lelaki tersebut sangat berbeza daripada kebanyakan pemuda yang ingin menegenalinya.

“Jujur saya katakan, selain Amirul, ada juga lelaki lain yang pernah menghantar pesanan di Instagram untuk mengenali saya dengan lebih dekat. Namun, caranya berbeza. Amirul seorang yang sangat budiman ketika menyatakan hasratnya untuk berkenalan.

“Dia (Amirul) bukan jenis yang berlebih-lebih dalam usahanya memenangi hati saya. Dia juga tidaklah terlalu romantik atau bermanja tidak bertempat, sebaliknya seorang lelaki yang suka berterus-terang dalam banyak perkara,” ujarnya.

Terdahulu, pada Khamis lalu, gambar yang dikongsikan Ain ketika sedang disarungkan cincin oleh seoarang wanita dipercayai ibu kepada buah hatinya di laman Instagram miliknya bukanlah sebuah majlis pertunangan seperti yang digembar-gemburkan netizen, sebaliknya hanyalah acara merisik.

Tambah pelakon drama 30 pesanan suara menerusi slot Akasia yang bakal ditayangkan di saluran TV3 Ramadan nanti, ramai peminat dan pihak salah faham dan memikirkan saya bertunang secara senyap-senyap selain merahsiakan perkara tersebut lapor Kosmo Online.