Perak Hari Ini

Aktiviti Ekonomi Yang Menyumbang Pencemaran Akan Dihentikan

IPOH- Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menghentikan mana-mana aktiviti ekonomi yang menyumbang secara terus kepada pencemaran alam sekitar di negeri Perak khususnya di sepanjang Sungai Rui.

Jawatankuasa khas (Taskforce) telah ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah pencemaran air yang telah berlaku di Sungai Rui, Gerik.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penubuhan Taskforce ini adalah langkah proaktif kerajaan negeri bagi memelihara kepentingan rakyat, walaupun proses mendapatkan pengesahan berhubung sumber pencemaran masih dijalankan.

“Bagaimanapun, perkara ini harus dilakukan dengan cermat dan penuh tanggungjawab supaya tidak menimbulkan keresahan dan keadaan panik di kalangan rakyat,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya tetapi telah terkeluarnya maklumat yang tidak tepat berkenaan dengan masalah penyakit dan sebagainya.

“Saya faham kekilafan yang berlaku iaitu telah tersebarnya maklumat yang tidak tepat, jadi saya memohon maaf bagi pihak exco berkenaan yang mungkin terlepas pandang maklumat terbabit.

“Oleh itu, cuma satu pihak sahaja yang akan mengeluarkan sebarang kenyataan iaitu Taskforce yang telah diwujudkan dan saya sendiri yang akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan lanjut mengenai hal berkenaan, “ katanya.

Sementara itu katanya, adalah penting untuk kita mengelakkan membuat sebarang kenyataan yang tidak berlandaskan kepada fakta yang tepat dan sekaligus menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang lalu telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas (Taskforce) adalah bagi mengenalpasti punca pencemaran dan mengambil langkah- langkah segera bagi mengawal pencemaran.

Katanya, pada peringkat awal didapati kadar pH berada pada tahap yang tinggi dimana menunjukkan kehadiran logam berat, termasuk bilangan kecil arsenik.

“Penemuan ini adalah susulan daripada pemantauan berterusan oleh jabatan-jabatan berkaitan sejak tahun 2016, berikutan aduan mengenai keadaan sungai yang keruh dan berkeladak.

“Berdasarkan kajian yang telah dibuat, arsenik secara semulajadi wujud dalam tanah di daerah Hulu Perak dimana peningkatan kandungan arsenik dalam air sungai berkemungkinan berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah seperti perlombongan bijih, hakisan tanah dan perladangan yang telah berlangsung selama lebih 100 tahun,” katanya.

Bagi aktiviti popular iaitu pesta ikan loma, jika tiada sebarang masalah yang timbul maka pihak kerajaan negeri menggalakkan aktiviti tersebut dijalankan tetapi jika ianya mendatangkan masalah kesihatan, maka aktiviti tersebut dinasihatkan supaya dapat dihentikan

“Setakat ini menerusi jawatankuasa yang telah ditubuhkan, masih tiada sebarang kenyaaan dikeluarkan berkenaan dengan perkara terbabit dan tindakan akan diambil apabila masalah timbul.

“Kerajaan negeri juga telah memutuskan untuk membekukan semua aktiviti-aktiviti pembalakan di hulu dan sepanjang Sungai Rui sehingga laporan konklusif hasil daripada semua kajian diperolehi,” katanya.

Tambah Ahmad Faizal, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan perihal keselamatan para penduduk terlibat dan tindakan telah dijalankan untuk mengambil sampel rambut daripada 300 penduduk Kampung Air Gandar yang mengalami simpton sakit kulit.

“Sampel ini telah dihantar kepada Institut Kajian Perubatan Malaysia (IMR) bagi tujuan untuk analisis bagi mengenalpasti punca penyakit kulit yang dihadapi oleh para penduduk.

“Hasil ujian contoh air yang dijalankan ke atas sampel air di Loji Air Ganda terkini menunjukkan paras arsenik adalah rendah dan di bawah piawaian yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang daripada 0.01 miligram untuk setiap liter.

“Kita masih menunggu laporan penuh daripada IMR dan sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, kita perlu memastikan setiap tindakan adalah berdasarkan fakta yang konklusif, supaya tidak berlaku kebimbangan dan suasana panik di kalangan rakyat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");