Sukan Hari Ini

Barcelona Harap Muncul Juara Sebelum Lawan Liverpool

MADRID: Barcelona memberikan sepenuh tumpuan memenangi gelaran La Liga dan berharap dapat menjulang piala berkenaan sebelum bertembung dengan Liverpool di separuh akhir Liga Juara-Juara minggu depan, kata jurulatihnya, Ernesto Valverde.

Skuad Catalan itu akan berkunjung ke Alves awal pagi esok (jam 3.30 pagi waktu Malaysia) dengan bekalan 77 mata dan sembilan mata di depan Atletico Madrid di tangga kedua.

Jika berjaya menewaskan Alaves dan Atletico Madrid pula gagal mengatasi Valencia sehari kemudian, maka anak buah Valverde akan sah menjulang gelaran La Liga esok.

“Banyak pihak bertanyakan saya mengenainya dan memang itulah yang semua orang mahukan,” kata Valverde dalam sidang media menjelang pertemuan berkenaan.

“Kami mahu menang La Liga, apa jua kemungkinan, kita akan tengok sama ada kita mampu lakukannya.

“Di atas kertas memang nampak mudah, satu menang di sini, satu seri di sana, ada kalanya kita menang tetapi sebenarnya kami berdepan dengan banyak pasukan yang mantap dan terpaksa berhempas pulas mengatasi mereka, perlawanan bukan mudah seperti disangka.”

Dalam pertemuan esok, Valverde dijangka merehatkan pemain sayap Ousmane Dembele untuk memberinya ruang sembuh daripada kecederaan hamstring yang menimpanya bulan lalu.

“Dia belum 100 peratus cergas. Dia perlukan masa sedikit demi sedikit untuk kembali, selama ini, dialah yang memberikan kami kepantasan dan sangat berguna menentang lawan yang menekan kami dan kami akan gunakan dia untuk mengisi peranan itu.

Valverde bagaimanapun enggan mengulas sama ada Dembele akan mengambil peranan Philippe Coutinho apabila pemain Perancis itu sembuh nanti.

“Di sini tiada siapa mengatasi yang lain. Semua pemain yang kami miliki adalah pemain hebat dan jika ada ketikanya seorang pemain digantikan dengan pemain lain, itu perkara biasa yang dilakukan semua kelab lain,” katanya.

“Setiap pemain berjuang mengekalkan posisi masing-masing dan bekerja keras mengekalkan prestasi. Dalam kes ini, sama ada Dembele beraksi atau Coutinho yang tersenarai, ia perkara biasa, malah mereka berdua boleh juga beraksi bersama-sama.”

Yang pasti skuad Valverde akan kehilangan khidmat Rafinha yang masih menjalani rawatan jangka panjang manakala Thomas Vermaelen dan Samuel Umtiti masih dalam tanda tanya.

Alaves yang kini di tangga kelapan dengan 46 mata, juga bakal kehilangan khidmat Jonathan Calleri (digantung) dan trio utama terdiri Guillermo Maripan, Takashi Inui dan Jorge Burgui yang masing-masing masih belum sembuh daripada kecederaan. – Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");