Panasnya Hari Ini

Bekas Pegawai Khas Najib Muat Naik Rakaman CCTV Prosiding Mahkamah Di Facebook

KUALA LUMPUR: Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) prosiding perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

Rakaman berkenaan dimuat naik menerusi akaun bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil, dan ditonton sebanyak 189,000 kali serta mendapat lebih 1,700 komen selain dikongsi oleh 3,200 akaun sehingga sekitar malam semalam.

Rakaman selama dua minit 12 saat yang turut diberi tajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ itu menunjukkan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menyoal saksi dalam kes itu.

Ahli Jawatankuasa Biro Perundangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Saiful Ambar Abdullah Ambar, berkata pihaknya akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Katanya, tindakan pengambilan rakaman serta mengeluarkan komen semasa perbicaraan sedang berlangsung adalah jelas bertentangan dengan sistem perundangan serta menghina mahkamah.

“Saya percaya rakaman hanya boleh diperoleh pihak tertentu yang dibenarkan mahkamah dengan syarat yang sangat ketat.

“Ia pasti tidak boleh diedarkan, disalin semula atau dimuat naik dalam sebarang bentuk media dan bukan untuk tontonan umum,” katanya dalam satu kenyataan, lapor BH Online.

Saiful berkata, Isham seolah-olah cuba menyebarkan kononnya mahkamah tidak memberi peluang kepada Najib sekiranya dia didapati bersalah.

“Ini jelas menghina mahkamah dan saya ingin memberi amaran kepada Isham untuk berhenti menjadi pembela Najib di luar mahkamah.

“Dia seharusnya membiarkan peguambela yang dilantik Najib (Muhammad Shafee), untuk mengendalikan perbicaraan kes itu,” katanya.

Sebelum ini, Najib pernah memohon kepada mahkamah untuk menyiarkan secara langsung prosiding perbicaraan kesnya, namun ditolak.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");