Sukan Hari Ini

Bekas Pemain Rancang Konspirasi Singkir Norza?

KUALA LUMPUR: Ketika kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diterajui Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bakal menyambut ulang tahun kedua pada 29 April ini, ada cerita kurang enak yang menyelubungi badan induk itu.

Sejauh mana kebenarannya, ia tidak dapat dipastikan tetapi timbul spekulasi mengatakan ada konspirasi bagi menjatuhkan kepimpinan sedia ada yang digerakkan ‘orang luar’ diketuai seorang bekas pemain badminton kebangsaan.

Susulan prestasi hambar barisan pemain negara dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini, pihak terbabit cuba menangguk dalam air keruh dengan memulakan gerakan bagi melobi untuk merombak kepimpinan diterajui Norza.

Kumpulan itu mahu BAM diuruskan oleh bekas pemain kebangsaan yang dianggap lebih pakar dalam sukan itu.

Malah, difahamkan mereka sudah mempunyai calon bagi diletakkan sebagai presiden yang baharu.

“Siapa yang berada dalam komuniti badminton negara, pastinya ada mendengar mengenai perkara ini. Namun, sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan.

“Mereka dikatakan menjadikan prestasi tidak menentu pemain negara ketika ini sebagai alasan utama untuk menggerakkan usaha itu,” kata seorang sumber kepada BH Sukan.

Norza dilantik sebagai Presiden BAM selepas mendapat sokongan penuh daripada ahli majlis badan induk itu pada pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 29 April 2017.

Beliau menggantikan Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff yang tidak mempertahankan jawatannya tetapi ahli majlis sebulat suara melantiknya sebagai Presiden Kehormat.

Difahamkan, kepimpinan sedia ada boleh dirombak sekiranya ada usul undi tidak percaya yang dibawa oleh ahli majlis seterusnya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) perlu dilakukan.

Bagaimanapun, sumber berkata, usaha untuk menjatuhkan kepimpinan sedia ada adalah sukar kerana difahamkan majoriti ahli majlis masih berdiri teguh di belakang Norza.

“Saya fikir ia tidak akan menjadi kenyataan. Lagipun, kepimpinan sedia ada baru memasuki tahun kedua, mereka seharusnya diberikan peluang untuk melaksanakan tugas mereka sehingga penggal tamat dan selepas itu baru kita boleh buat penilaian,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");