Perak Hari Ini

Berjaya Lahirkan Lebih 300 Usahawan Daripada Golongan Asnaf

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah berjaya melahirkan 360 usahawan daripada golongan asnaf, menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) sejak ia diwujudkan pada tahun 2012.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Haidi Sulaiman berkata pada tahun ini, MAIPk menyasarkan untuk melahirkan lebih 100 usahawan asnaf.

Jelasnya program yang dibiayai sepenuhnya daripada dana wang zakat itu dijalankan secara berfasa.

“Program ini kita adakan setiap tahun. Jadi ianya berterusan dalam satu kumpulan ke satu kumpulan.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan seramai 300 peserta akan mengambil bahagian dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM2.6 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Akujanji Proper A antara peserta dan Syarikat penyedia khidmat latihan di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Seramai 180 orang usahawan asnaf terlibat yang mana MAIPk memperuntukkan RM1.1juta bagi mereka itu mengikuti kursus dalam Proper A bersama-sama lapan syarikat yang menyediakan perkhidmatan latihan dan bimbingan.

Antara kurus yang ditawarkan termasuk pembuatan sejuk beku dan biskut raya, penanaman cili fertigasi, penjenamaan produk, kurus asas perniagaan serta bimbingan keusahawanan dan banyak lagi.

Mohd Haidi berkata antara objektif utama inisiatif tersebut ialah bagi membantu mengeluarkan golongan asnaf daripada garis kemiskinan.

“Program ini kita jalankan kepada asnaf yang telah menjalankan aktiviti ekonomi sendiri namun, ianya berskala kecil. Jadi kita bantu untuk besarkan lagi perniagaan mereka.

“Kebanyakan mereka ini akan menghadiri kursus bimbingan dahulu. Kemudian kita akan menyediakan modal untuk mereka bagi meneruskan aktiviti ekonomi seperti mana kurus yang telah dikuti bersama syarikat yang dilantik,” ujarnya.

Selain itu katanya selain daripada asnaf, syarikat yang dilantik juga turut sama akan menjalani proses tapisan bagi menentukan kelayakan mereka menjayakan program itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Zakat MAIPk, Bakri Lee, berkata selain menyediakan latihan, kesemua syarikat yang dilantik itu akan turut menjadi pemantau kepada peserta.

“Kursus yang kita berikan adalah dalam tempoh dua bulan. Ia termasuk dengan latihan pembuatan, pengenalan berkenaan kursus perniagaan dan sebagainya.

“Selepas itu, dalam tempoh enam bulan, syarikat yang dilantik itu akan bertanggungjawab sebagai pemantau mereka dalam mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kursus mereka itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");