Panasnya Hari Ini

BERSATU Sabah Kukuhkan Kedudukan WARISAN, PH – Marzuki

KUALA LUMPUR: Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah dengan penyertaan seramai 120,000 ahli pada satu masa bukan ancaman, sebaliknya satu pengukuhan kepada Pakatan Harapan (PH).

Memetik laporan BH Online, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata kehadiran parti yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu wadah perjuangan yang mengutamakan rakyat dan pembangunan negara.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, penubuhan BERSATU disambut baik apabila direkodkan sebanyak 120,000 keahlian dalam satu masa yang diterjemahkan sebagai penerimaan dengan hati terbuka oleh rakyat.

“Jumlah kemasukan ahli baharu yang besar perlu dilihat bukan satu ancaman tetapi sebenarnya pengukuhan kepada PH.

“Apabila sesebuah parti, tidak kiralah PKR, DAP ataupun AMANAH (Parti Amanah Negara) sedang mengukuhkan kekuatan maka secara automatik, ia mengukuhkan PH maka begitulah yang sedang berlaku ke atas BERSATU.

“Kemasukan beramai-ramai ke dalam parti jelas menunjukkan perubahan yang ingin dibuat rakyat Sabah dengan menerima BERSATU sebagai wadah perjuangan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Parti Warisan Sabah (WARISAN),” katanya, hari ini.

Beliau mengulas pelancaran BERSATU SABAH yang menyaksikan kehadiran 30,000 orang dan penyertaan 120,000 ahli, semalam.

BH melaporkan Dr Mahathir gembira dan tidak menyangka dengan sambutan luar biasa pada pelancaran BERSATU di Sabah yang membuktikan orang Sabah berminat menyertai parti itu.

Rabu lalu, Dr Mahathir menegaskan BERSATU akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan Sabah yang dipimpin WARISAN.

Beliau berkata, kehadiran BERSATU di Sabah bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan merebut mana-mana jawatan.

Terdahulu, Marzuki merasmikan pelancaran buku Kumpulan Puisi, Mahathir, Kami Bersamamu hasil karya Lim Swee Tin sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Buku setebal 87 muka surat menghimpunkan 40 sajak yang digarap dalam tempoh 20 tahun membabitkan pengisian sumbangan dan jasa beliau kepada negara dan rakyat.

Ia yang diterbitkan Universiti Utara Malaysia (UUM) Press dijual dengan harga RM55 senaskhah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");