Sukan Hari Ini

Costa Digantung Lapan Perlawanan

MADRID: Penyerang Atletico Madrid, Diego Costa akan terlepas baki saingan musim ini selepas digantung lapan perlawanan oleh Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) malam tadi.

Memetik laporan BH Online, Costa dibuang padang pada babak pertama ketika kekalahan 2-0 Atletico di tangan Barcelona Sabtu lalu kerana membantah pengadil Gil Manzano. Manzano turut melaporkan Costa juga menarik tangannya ketika insiden berkenaan.

Penggantungan berkenaan bermakna Costa tidak akan beraksi lagi musim ini dengan Atletico hanya berbaki tujuh perlawanan La Liga, dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara serta Piala Raja Sepanyol.

Kekalahan pada perlawanan berkenaan menyaksikan Atletico kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.

Costa mengharungi musim sukar bersama Atletico, menjaringkan hanya lima gol dalam semua pertandingan dan terpaksa berehat hampir dua bulan di awal musim akibat kecederaan kaki.

Atletico menandatangani Alvaro Morata dari Chelsea secara pinjaman pada Januari dan pemain 26 tahun itu dijangka kekal dalam kesebelasan utama.

Costa sebelum ini sering mencetus kontroversi. Dia berpindah ke Atletico selepas tidak sehaluan dengan bekas pengendali Chelsea Antonio Conte pada tahun 2017, perbalahan yang menyaksikan penyerang itu berpindah ke Brazil dan enggan bermain untuk kelab.

Dia pernah dua kali digantung tiga perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak England kerana memijak pemain Liverpool Emre Can pada Januari 2015 dan menendang pertahanan Arsenal Gabriel Paulista sembilan bulan kemudian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");