Perak Hari Ini

Dakwaan Kelemahan Laporan Kewangan Majlis Belia Negeri Disiasat – Howard

IPOH: Kerajaan negeri telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan kewangan Majlis Belia Negeri (MBN) Perak yang disyaki mempunyai keraguan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata pada tahun lalu, MBN Perak telah diminta untuk mengemukakan laporan kewangan bagi tahun 2014 hingga 2017.

Katanya berdasarkan penelitian dan laporan audit, terdapat beberapa kelemahan kewangan yang telah disyorkan agar ia diperbaiki.

Jelasnya MBN Perak pada sepanjang tempoh tahun tersebut telah membelanjakan sejumlah peruntukan besar yang dirasakan tidak munasabah kepada beberapa program.

Antara programnya ialah Karnival Mesra Belia, Perak Silver Youth Fest, program-program bersempena dengan Permukiman Menteri Besar Perak, program Ekspresi Anak Muda dan menghantar peserta ke Pesta Sukan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Katanya ia melibatkan peruntukan berjumlah sekitar lebih daripada RMRM264,335 sehingga RM555,997.30.

“Hasil siasatan audit dalaman, akaun MBN Perak ada juga dijadikan sebagai akaun tumpang kepada individu politik tertentu. Pada 2015, sejumlah RM228,500 telah ditumpang kepada akaun tersebut.

“Malah apa yang mencurigakan, MBN Perak telah memberikan ‘sumbangan’ peruntukan kepada pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Seolah-olah ada udang di sebalik batu,” katanya.

Tambahnya lagi kerajaan negeri melalui pejabat beliau tidak ada masalah untuk memberi peruntukan kepada MBN Perak namun diharap ia mampu membangunkan potensi belia di negeri ini dengan lebih meluas.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN- Rungkup) bangun memberi pencelahan dengan menyatakan sokongan dan kerjasama atas dakwaan tersebut.

Walau bagaimanapun katanya peruntukan besar kepada MBN Perak oleh pentadbiran sebelum ini, bukan semata-mata untuk organisasi tersebut sebaliknya ia turut diperuntukkan kepada badan-badan gabungan yang berada di bawah MBN Perak.

Selain itu, Shahrul berkata program Permukiman Menteri Besar yang disertai MBN Perak sebelum ini bukanlah program politik sebaliknya ia adalah program yang dianjurkan kerajaan negeri.

Howard kemudian bangun da berkata isu pemberian sumbangan dana oleh MBN Perak kepada pejabat ADUN adalah sesuatu yang perlu disiasat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");