Perak Hari Ini

Datuk Bandar Ipoh Yang Baharu Boleh Berbahasa Jepun – MB Perak

IPOH: Calon Datuk Bandar Ipoh yang baharu bagi menggantikan Datuk Zamri Man telah pun dikenal pasti dan dijangka memulakan tugasnya pada bulan ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata individu tersebut juga telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Walau bagaimanapun Ahmad Faizal tidak mendedahkan secara jelas nama individu tersebut.

“Beliau anak tempatan, anak Perak. Telah berkhidmat di banyak tempat. Seorang yang berpengalaman malah boleh berbahasa Jepun,” katanya.

Menteri Besar juga mengesahkan bahawa Calon Datuk Bandar Ipoh itu bukan melalui lantikan politik.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis peletakan batu asas Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di Kampung Tersusun, Tanah Hitam, Chemor dekat sini hari ini.

Pada masa sama, ketika ditanya tentang status terkini Zamri, Ahmad Faizal berkata perkara tersebut akan diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Jelasnya lagi, perkara yang sama juga ada dibincangkan di peringkat mesyuarat kerajaan negeri.

Beliau juga mengakui bahawa tidak mendapat sebarang maklumat terkini tentang keadaan Zamri.

“Saya kira biarlah pihak SUK yang akan mengambil tindakan. Sudah tentu ia mempunyai prosedur tertentu berkenaan masalah berkenaan.

“Namun yang penting seorang Datuk Bandar baharu akan memulakan tugasnya tidak lama lagi dan segala urusan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan berjalan seperti biasa,” ujarnya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Paul Yong Choo Kiong mengesahkan pelantikan Datuk Bandar Ipoh yang baharu akan dibuat dalam masa terdekat.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya dimaklumkan Zamri mengalami masalah kesihatan tetapi hanya menyerahkan surat cuti sakit untuk tempoh dua bulan sahaja dan tidak memberikan maklumat mengenai keadaan dirinya beberapa bulan selepas itu.

Ketika ini segala tugas Datuk Bandar Ipoh dilaksanakan oleh Setiausaha MBI, Zakuan Zakaria.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");