Hakikat yang harus ditelan, manusia yang sihat juga pasti akan terkesan dan berasa murung apabila disua dengan perkataan mati. Inikan pula buat mereka yang menanggung derita penyakit sepertinya.

Bukan mahu menolak ketentuan ajal dan maut apatah lagi bahasa kasarnya kebal akan kematian, namun pokok pangkalnya hanya Elyana yang tahu kesakitan yang dialami. Jadi, usahlah kalian menebak, melemparkan kata-kata nista dan tidak kurang mendoakan yang tidak baik terhadapnya.

Tolak ke tepi akan penampilannya, ironi, semangat dan kecekalan yang ditunjukkan Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 32, yang ditemui pada sesi fotografi khas bersama Sensasi Bintang di studio Utusan, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini cukup terserlah.

Bahkan, senyuman yang terukir di bibirnya selain sikap mesra dan baik yang dipamerkan Elyana, membuatkan semua yang ada di sekelilingnya pada sesi tersebut menyenangi dirinya dan ia sekali gus menunjukkan figura ini ternyata insan dengan sikap yang sangat positif.

Pada masa sama, Elyana dilihat begitu bersemangat dan teruja bercerita mengenai konsert sulungnya, Elyana Jadi Diriku 19 ‘Live in Concert’ yang bakal terlaksana pada Julai nanti lapor KOnline.

“Bercakap mengenai konsert, memang pada awalnya doktor tidak tahu perancangan saya, dan saya juga mengambil pendekatan untuk menangguhkan dahulu rawatan kimoterapi.

“Bagaimanapun, selepas diberitahu hasrat tersebut baru-baru ini, alhamdulillah, doktor tidak menghalang. Jujur kata, segala hal berkaitan kerjaya, doktor biasanya tidak akan masuk campur. Bagaimanapun, dia sentiasa menasihati tentang penjagaan kesihatan yang perlu saya ikuti,” ujarnya yang mengakui, perlepasan dan kelonggaran daripada doktor itu tidak menjadi ‘tiket’ untuknya mengabaikan kesihatan dirinya.

Pasukan paramedik

Pada masa sama, pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu turut memanjat kesyukuran apabila ada pasukan paramedik yang akan memantau kesihatannya sepanjang konsert tersebut berlangsung.

“Sejujurnya, sudah terlalu lama saya memasang impian untuk mengadakan konsert sulung.

“Namun, impian tersebut terpaksa dihentikan seketika apabila saya disahkan menghidap penyakit kanser limfoma tahap dua sejurus selepas melahirkan anak sulung, Cinta Summaiyah pada 8 Ogos 2011 lalu,” ujarnya yang berterima kasih kepada pihak MRS Production selaku penganjur konsertnya itu.

Tambah anak jati kelahiran Shah Alam, Selangor itu lagi, sokongan yang tidak pernah putus diberikan peminat, suami dan banyak pihak turut membuatkan dia kembali bersemangat sekali gus menjadikan konsert itu nanti sebagai satu kenyataan.

Dalam pada itu, pelakon filem seram, Dukun itu menambah, segala perancangan awal berjalan dengan begitu baik dan lancar selain meminta peminat untuk tidak pernah jemu mendoakan kesihatan serta kemampuannya beraksi pada kemuncak konsert kelak.

Jelasnya lagi, konsert selama satu setengah jam itu bakal disajikan dengan himpunan lebih daripada 14 lagu-lagu popularnya sepanjang keberadaannya yang hampir 20 tahun dalam kanvas seni hiburan tempatan.

“Bercerita mengenai konsep konsert perdana saya ini, apa yang saya boleh kongsikan ialah ia akan membawa anda kembali semula kepada zaman di mana saya mula bertapak dalam industri kira-kira 19 tahun yang lalu.

“Persembahan juga akan dibahagikan kepada tiga kategori yang mana setiap segmen atau slot dibahagikan mengikut genre lagu yang saya pernah bawakan termasuklah balada, pop rock, R&B dan pop.

“Pada masa sama, elemen-elemen lain yang menjadi trending sepanjang zaman kegemilangan saya berada dalam industri turut bakal dipersembahkan semula seperti fesyen dan gaya pemakaian pada masa itu,” kongsinya.

Tidak bersendirian menjayakan konsert itu nanti, jelas Elyana, beberapa artis dan penyanyi lain turut bakal sama-sama memeriahkannya. Bahkan, 30 peratus hasil daripada jualan tiket yang boleh didapati menerusi laman web dan aplikasi Shoppee akan disumbangkan kepada Majlis Kanser Negara sebagai rakan penerima manfaat.

Kongsinya lagi, besar harapannya untuk melihat konsert yang sudah lama diimpikannya itu menjadi kenyataan dan sejarah buat dirinya selain hadiah bermakna dalam relung hidupnya.

Tambah zuriat

Tutup soal konsert. Ditebak soal zuriat pula, Elyana yang pernah menjayakan watak utama sebagai Opie menerusi siri televisyen komedi Dunia Baru pada 2006 itu masih tidak putus asa untuk mendapatkan anak angkat.

Jelasnya, sebagai seorang ibu, dia memang mengimpikan untuk mempunyai zuriat yang ramai selepas berkahwin dengan suaminya, Khairul Anuar Husin, pada November 2010.

“Wanita dan ibu mana yang tidak mahukan anak dan zuriat yang ramai. Sudah bertahun-tahun saya impikan untuk mempunyai anak. Bagaimanapun, apakan daya keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan saya untuk menambah cahaya mata lagi.

“Maka, jika ada rezeki saya mahu mendapatkan anak angkat daripada golongan yang kurang bernasib baik,” ulasnya yang tidak kisah anak angkat yang dimiliki itu nanti lelaki ataupun perempuan