Perak Hari Ini
Like

Draf Undang-undang Sukan Elektronik Perak Giat Dirangka – Howard

April 14, 2019
200 Views
0 Comments
2 minutes read
Draf Undang-undang Sukan Elektronik Perak Giat Dirangka – Howard

IPOH: Kerajaan Perak kini sedang giat merangka draf bagi menggubal undang-undang berkaitan pengurusan sukan elektronik (e-sports) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How berkata, draf terkini telah pun sampai ke tangan beliau pada dua hari lalu.

Namun katanya ia tidak akan dibentangkan dalam sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu hadapan sebaliknya ia akan dibentangkan pada sesi Julai.

“Kita telah mengadakan beberapa siri perbincangan. Kita juga ada melibatkan badan firma undang-undang luar, bagi membantu kerajaan negeri merangka draf undang-undang bagi pengurusan dan pentadbiran e-sports.

“Setakat ini, kami dimaklumkan Perak merupakan satu-satunya negeri yang mengorak langkah ke hadapan dalam merangka undang-undang bagi e-sports,” katanya.

Dalam pada itu ujarnya, Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Perak, Muhammad Naim Al Amin Saharudin juga telah menganggotai jawatankuasa protem yang telah ditubuhkan pada tahun lalu bagi memastikan penubuhan Majlis Sukan Elektronik negeri akan terlaksana.

Selain itu katanya draf tersebut bukan berada di peringkat akhir sebaliknya banyak penelitian dan penambahbaikan yang perlu dibuat pada draf tersebut.

Tambah Howard, ia merupakan satu perkembangan yang baik buat industri e-sports di negara ini.

Jelasnya, dengan adanya rang undang-udang tersebut, ia menunjukkan betapa seriusnya kerajaan negeri dalam memastikan pengurusan e-sports di Perak ini berada pada tahap yang baik.

Beliau terdahulu ditemui pemberita pada program pengenalan skuad dan atlet e-sports yang akan mewakili Perak bagi merebut tempat mewakili negara pada temasya Sukan SEA 2019 Filipina.

Majlis yang diadakan di Movie Animation Park Studios (MAPS), di sini, hari ini itu turut dihadiri Penasihat Kepada Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Komen & Pendapat

Comments are closed.