Berita Hari Ini

Duta ERC Dakwa Kerajaan Sorok Isu Seludup Rohingya

KUALA LUMPUR: RM8,000 hingga RM20,000. Itu bayaran terkini dikenakan sindiket penyeludupan migran kepada etnik Rohingya untuk diseludup ke Malaysia.

Duta Majlis Rohingya Eropah (ERC) ke Malaysia, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi berkata, RM8,000 dikenakan sindiket kepada pelarian lelaki namun RM20,000 dikenakan kepada wanita Rohingya yang keluarganya berada di Malaysia.

“Kegiatan haram itu masih berleluasa. Pihak berkuasa Malaysia terlalu perlahan dalam memerangi kegiatan ini. Isu ini didedahkan sejak 2015, namun kegiatan haram itu terus aktif. Sindiket seolah-olah tidak gentar dengan pihak berkuasa Malaysia.

“Ini persoalan yang timbul. Malah, tindakan pihak berkuasa Malaysia jika dibandingkan dengan Thailand yang menahan 88 individu terdiri daripada pegawai kanan polis dan tentera termasuk datuk bandar dilihat sangat terkebelakang. Seolah cuba menutup sesuatu,” katanya.

Ditanya taktik terkini sindiket, Tengku Emma berkata, disebabkan kerajaan Bangladesh mula mengetatkan kawalan di perairan mereka, penyeludup memberi tumpuan membawa etnik Rohingya di Myanmar ke Malaysia.

“Kegiatan penyeludupan pula bertambah aktif apabila tentera Myanmar menyerang perkampungan penduduk. Alasan digunakan mereka adalah penduduk melindungi pemberontak atau ahli kumpulan Arakan Army,” katanya.

Diminta mengulas mengenai laporan ‘Sold Like Fish’ dikeluarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Fortify Rights, Tengku Emma berkata, kegagalan kerajaan Malaysia bertindak memerangi kegiatan itu adalah memalukan memetik laporan HMetro.

“Memusnahkan kem pemerdagangan orang, memulakan siasatan hanya empat bulan selepas didedahkan. Ini menimbulkan banyak persoalan?

“Bagi saya, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dibentuk sudah terlambat. Namun, lebih baik daripada tiada tindakan langsung. Seterusnya, saya harapkan kerajaan serius dalam membanteras kegiatan penyeludupan migran di sempadan negara. (Tindakan) Ini diperlukan kerana mereka (sindiket) masih aktif,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");