Berita Hari Ini

ECRL: CCCC Akan Pulangkan Bayaran Pendahuluan RM3.1 Bilion

KUALA LUMPUR: China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersetuju memulangkan sebahagian daripada RM3.1 bilion bayaran pendahuluan Fasa 2 Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Landasan Berkembar dan Jajaran Utara berdasarkan kontrak asal, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sejumlah RM500 juta akan dipulangkan dalam tempoh seminggu dari 12 April 2019 dan RM500 juta lagi dalam tempoh sebulan dari sekarang membabitkan RM1 bilion,” katanya pada sidang media susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara CCCC dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd pada 12 April lalu.

Perdana Menteri berkata, bakinya akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas potongan bagi tuntutan yang disahkan susulan kerja yang terbantut, penggantungan, serta pembatalan jajaran utara.

SA itu meliputi Fasa Satu dan 2 kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian ECRL pada harga yang dikurangkan kepada RM44 bilion.

Ini merupakan pengurangan sebanyak RM21.5 bilion atau 32.8 peratus daripada kos asal sebanyak RM65.5 bilion.

Dr Mahathir berkata, ECRL kini menelan belanja RM68.7 juta setiap kilometer berbanding RM95.5 juta setiap kilometer daripada perjanjian asal.

Jajaran baharu itu akan melalui 20 stesen dari Kota Bahru ke Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan melalui Jelebu, Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral dan ke Pelabuhan Klang.

Ia akan melalui lima negeri dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berbanding empat sebelum ini, yang akan membolehkan lebih banyak negeri memperoleh manfaat limpahan ekonomi.

Jajaran selatan akan menyediakan laluan darat langsung dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang, dan menjadi jambatan darat antara kedua-dua pelabuhan.

Perdana Menteri berkata, jajaran baharu ini akan memanfaatkan KLIA Express Rail Link (ERL) sedia ada serta MRT2 SSP Line yang akan dilaksanakan, dengan stesen pertukaran di Putrajaya Sentral.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");