Perak Hari Ini

Elakkan Perbuatan Yang Boleh Cetuskan Sengketa Antara Kaum, Agama – Sultan Perak

IPOH: Perbuatan menyuntik minda dengan sikap rasa kebencian dan menyemai semangat permusuhan amat berbahaya, apatah lagi ia dilakukan atas nama perkauman dan agama yang melampau.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar tragedi berdarah di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada Mac lalu wajar dijadikan pengajaran penting kepada rakyat di negara ini.

Titah Baginda, peristiwa tersebut membuktikan watak zalim yang melampau dan semangat permusuhan itu terbina akibat daripada sikap berprasangka buruk selain, dipengaruhi sikap prejudis serta persepsi yang salah.

“60 tahun lalu, negara ini dimasyhurkan sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Barisan pemimpin yang mengasaskan negara ini menerima hakikat bahawa kestabilan, keamanan, kemakmuran serta kesejahteraan negara bergantung kepada kejayaan semangat kerjasama dan saling hormat-menghormati antara kaum dan agama.

“Perbuatan oleh mana-mana pihak yang mensensasikan isu kaum dan agama dikhuatiri akan menyalakan api persengketaan yang bakal membakar hangus sebuah keamanan, perpaduan, dan kerukunan yang telah dibina oleh generasi terdahulu,” titah Sultan Nazrin.

Titah Sultan Perak, demi kestabilan negara, sebarang kata-kata dan perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan antara kaum dan agama hendaklah dielakkan.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja semasa Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Terdahulu DUN Perak bertafakur selama seminit dan membacakan Al-Fatihah bagi memperingati kesemua 50 mangsa tragedi tembakan rambang di New Zealand pada bulan lalu.

Dalam pada itu, Baginda turut bertitah agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat memainkan peranan yang konstruktif supaya perkhidmatan terbaik dapat dinikmati oleh rakyat.

Sultan Perak juga bertitah agar kerajaan negeri dapat mempergiatkan usaha membantu penduduk di Pulau Pangkor, rentetan daripada pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas, agar mereka tidak menerima nasib seperti ‘Lebai Malang, menang sorak, kampung tergadai’.

Selain itu, Baginda turut mengingatkan semua pihak agar memandang serius kepada isu alam sekitar selain menyeru agar program menyayangi dan menghargai pokok dapat diperluaskan.

“Kerajaan Perak tidak akan berkompromi terhadap peneroka tanah secara haram. Sikap berlembut akan memberikan mesej yang salah, dan bakal menggalakkan berlaku lebih banyak penerokaan tanah secara haram,” titah Sultan Perak.

Tambah Baginda, kerajaan negeri juga hendaklah meletakkan sasaran bilangan pokok yang wajib ditanam setiap tahun selain semua pihak serta agensi dapat bergiat aktif dalam program penanaman pokok di negeri ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");